projekmmoBerita

Penentang Trump sokong Muslim, demo hingga ke Rumah Putih

Golongan muda dengan slogan 'bukan presiden saya' dan 'kasih sayang atasi benci' membantah bakal presiden Donald Trump di Miami, Florida pada 11 November 2016. ― Foto ReutersGolongan muda dengan slogan 'bukan presiden saya' dan 'kasih sayang atasi benci' membantah bakal presiden Donald Trump di Miami, Florida pada 11 November 2016. ― Foto ReutersMANHATTAN, 12 Nov — Ribuan anak muda Amerika Syarikat yang menolak Donald Trump dalam demonstrasi hari keempat menyatakan simpati pada orang Islam dan pendatang yang menjadi sasaran kecaman bakal presiden itu.

Mereka melahirkan rasa kebersamaan dengan kumpulan-kumpulan yang menjadi sasaran kritik, ejekan dan penghinaan calon Republikan itu termasuk warga Mexico dan umat Islam, lapor AFP hari ini.

“Kami [berhimpun] di sini menyatakan sokongan kepada mereka yang dihina Trump, untuk menunjukkan kepada anak-anak kami bahawa kami bersatu suara, dan berdiri teguh mempertahankan hak rakyat,” kata Kim Bayer, 41.

“Kami takut pentadbiran Trump akan memusnahkan hak asasi manusia. Saya rasa begitu takut, tidak pernah setakut ini. Kami perlu [membantah] di sini dan dengan lantang.”

Seorang lagi penunjuk perasaan berkata demonstrasi di kota raya New York hari ini bertujuan “menyampaikan mesej kasih sayang kepada sesiapa yang rasa terancam, mereka yang gentar dijadikan sasaran — pendatang, minoriti dan sesiapa yang gementar pada keputusan pilihan raya ini.”

Dengan slogan-slogan “bukan presiden saya”, “kasih sayang atasi benci”, dan “pagar anda [di sempadan Mexico] tidak akan halang kami”, penganjur merancang mengadakan perhimpunan pada hari kelima yang lebih besar.

Sementara di Boston, Reuters melaporkan anak-anak muda merancang membantah Trump, yang masuk secara rasmi di Rumah Putih pada 20 Januari depan, sepanjang empat tahun pentadbirannya.

Walau perhimpunan yang berlangsung sejak keputusan diumumkan 9 November diadakan tanpa perancangan rapi, anak muda pelbagai kaum dengan bermacam-macam agenda merancang meniru gerakan Occupy Wall Street pada September 2011.

Selain New York, mereka juga merancang mengadakan demonstrasi di Los Angeles. Lebih 10 kota besar negara itu termasuk Boston, Baltimore dan San Francisco menyaksikan demonstrasi membantah Trump.

Mereka juga merancang mengadakan bantahan di Washington pada 20 Januari, hari saudagar hartanah dan media itu menjejakkan kaki di Rumah Putih.

Kira-kira 52 peratus pengundi yang berusia antara 18 hingga 44 tahun menyokong Hillary Clinton, yang tewas mengejut. Hanya 40 peratus dilaporkan bersama hartawan tersebut, lapor CNN. 

Undi untuk bekas setiausaha negara Amerika Syarikat itu, menurut New York Times, datangnya dari kota besar dan kawasan universiti serta kolej.

Penyokong Trump pula rata-ratanya mereka yang berkulit putih, kurang pendidikan, tinggal di luar bandar dan kawasan industri, dan berpendapatan menengah sekitar US$25,000 (RM110,000) hingga US$30,000 (RM130,000) setahun, lapor Bloomberg.

Lagi Video di MMOTV