projekmmoBerita

Kes culik paderi: Pemandu Uber didakwa tuntut RM30,000

Satu majlis nyalaan lilin diadakan susulan kes culik Raymond Koh, seorang pastor, di luar ibu pejabat polis Shah Alam, 5 Mac 2017. — Foto oleh Yusof Mat IsaSatu majlis nyalaan lilin diadakan susulan kes culik Raymond Koh, seorang pastor, di luar ibu pejabat polis Shah Alam, 5 Mac 2017. — Foto oleh Yusof Mat IsaPETALING JAYA, 15 Mac — Seorang pemandu Uber sambilan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan wang daripada anak lelaki kepada seorang paderi yang diculik 13 Feb lalu.

Lam Chang Nam, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd Azali Ibrahim.

Tertuduh didakwa telah memeras ugut Jonathan Koh Szu Hao, 33, dengan meminta wang sebanyak RM30,000 dengan tujuan membebaskan ayahnya di Paradigm Mall, Kelana Jaya, di sini pada 8.46 malam, 6 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Terdahulu, timbalan pendakwa raya Nurul Ilyani Mohd Tamam tidak menawarkan sebarang jaminan mengambil kira kesalahan tersebut merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin dan pemerasan yang dilakukan melibatkan jumlah RM30,000.

“Jaminan juga tidak ditawarkan untuk mengelakkan mangsa diganggu serta kes ini merupakan kes yang menjadi tumpuan masyarakat,” katanya.

Lam yang diwakili peguam Datin Raj Preet Kaur memohon mahkamah membenarkan jaminan terhadapnya atas alasan tertuduh merupakan anak tunggal dan menjaga ibunya yang merupakan ibu tunggal.

“Anak guam saya juga bersedia menerima sebarang syarat tambahan sekiranya jaminan terhadapnya dibenarkan,” kata peguam itu.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 26 April untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, Bernama melaporkan seorang paderi diculik pada pagi 13 Feb lalu di Petaling Jaya ketika dalam perjalanan untuk bertemu rakannya. — Bernama

Lagi Video di MMOTV