projekmmoBerita

Dua pemain negara disiasat kes rasuah, atur permainan

Pemain popular China Lin Dan dalam satu perlawanan dengan logo BWF di belakangnya. BWF menyiasat pemain Malaysia yang didakwa rasuah. — Foto Reuters Pemain popular China Lin Dan dalam satu perlawanan dengan logo BWF di belakangnya. BWF menyiasat pemain Malaysia yang didakwa rasuah. — Foto Reuters KUALA LUMPUR, 13 Feb — Seorang pemain badminton profesional negara disiasat Persekutuan Badminton Dunia (BWF), disyaki terlibat mengatur perlawanan.

Pemain usia 20-an itu digantung daripada menyertai kejohanan sejak bulan lalu sehingga siasatan itu selesai, lapor Berita Harian

Namun Utusan Online melaporkan kenyataan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang menjelaskan dua pemain disiasat oleh persekutuan itu.

Beliau, yang tidak dinamakan, mula dipantau BWF sejak setahun lalu dan penggantungannya dibuat selepas kegiatannya “semakin ketara”.

Badan itu mengesyaki perbuatan pemain berkenaan berdasarkan gaya hidupnya yang didakwa mewah dan telah menjadi buah mulut sejak kebelakangan ini.

“BWF sudah memanggil pemain terbabit untuk siasatan lanjut hujung tahun lalu,” kata sumber kepada akhbar tersebut.

Badan dunia itu dilaporkan mempunyai bukti mencukupi untuk membuat dakwaan termasuk hasil pemeriksaan terhadap telefon bimbitnya.

“Daripada telefon bimbitnya itu, BWF mendapati ada kandungan mesej dalam aplikasi WhatsApp yang menjurus kepada kegiatan mengatur perlawanan,” katanya.

Menurut presiden BAM, bukan seorang pemain negara seperti dilaporkan media sebaliknya dua pemain tetapi "mereka tidak berada bawah seliaannya".

Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria bagaimanapun enggan mendedahkan nama dan maklumat berhubung dua pemain itu, lapor Utusan Online lagi.

Lagi Video di MMOTV