projekmmoBerita

PAS: Kami tanding tiga penjuru bukan niat lawan PH

Keputusan PAS bertanding, walau tiga penjuru, bukanlah bertujuan memperkecilkan mana-mana pihak, kata Datuk Ahmad Yakob. ― Foto oleh  Yusof Mat IsaKeputusan PAS bertanding, walau tiga penjuru, bukanlah bertujuan memperkecilkan mana-mana pihak, kata Datuk Ahmad Yakob. ― Foto oleh Yusof Mat IsaKOTA BARU, 26 Julai ― Keputusan PAS meletak calon pada mana-mana kerusi dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti mungkin menyebabkan berlaku pertandingan tiga penjuru tetapi tindakan itu bukan untuk melawan pakatan pembangkang.

Timbalan mursyidul am PAS Datuk Ahmad Yakob berkata PAS mempunyai pertimbangan tersendiri untuk meletakkan calon mereka bertanding.

“Kita tak lawan pembangkang tapi kita ada dasar sendiri. Kita meletakkan calon mengikut keputusan parti dan keputusan itu bukanlah bertujuan untuk memperkecilkan mana-mana pihak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Publisiti dan Penyertaan Awam, Draf Laporan Pemeriksaan Kajian Semula Rancangan Struktur Negeri Kelantan 2040 di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Beliau, yang juga menteri besar Kelantan, mengulas kenyataan setiausaha publisiti DAP Tony Pua yang kesal dengan hasrat PAS untuk meletakkan calon di kubu kuat pembangkang termasuk di kerusi DAP.

Pua mendakwa tindakan itu secara jelas memperlihatkan PAS ingin menewaskan pakatan pembangkang pada PRU14 supaya presiden Umno Datuk Seri Najib Razak terus kekal menjadi perdana menteri.

Dalam pada itu Ahmad turut mencabar DAP meletakkan calon mereka untuk bertanding di kesemua kerusi di negeri ini.

“DAP nak letak semua calon mereka di Kelantan pun boleh,” katanya. ― Bernama

Lagi Video di MMOTV