projekmmoBerita

Pakatan Harapan tidak boleh diharap jadi kerajaan, kata Mahdzir

Pakatan Harapan masih gagal menyelesaikan kemelut dalaman, kata Datuk Seri Mahdzir Khalid. — Foto BernamaPakatan Harapan masih gagal menyelesaikan kemelut dalaman, kata Datuk Seri Mahdzir Khalid. — Foto BernamaKUALA NERANG, 3 Feb — Pakatan Harapan tidak boleh diharap menjadi kerajaan kerana dilihat masih gagal menyelesaikan kemelut dalaman yang melanda gabungan parti pembangkang itu, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau meminta rakyat menilai sama ada mahu menjadikan parti yang berdepan kemelut menjadi kerajaan untuk mentadbir urus negara atau mengekalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sedia ada yang telah terbukti berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

“Wujud perasaan iri hati dan tak suka antara satu sama lain… (Pengerusi Pakatan Harapan) Tun Dr Mahathir (Mohamad) cakap semua dah selesai tapi kalau tengok daripada kenyataan-kenyataan yang dibuat  parti masing-masing ada yang tidak puas hati  dan terbaru ialah di Selangor melibatkan PKR dan Amanah (Parti Amanah Negara).

“Pada saya macam mana nak jadi kerajaan … sedangkan empat parti dalam pasukan dah tak boleh nak selesai, berkecamuk, bergaduh, tak tentu hala tuju serta bergaduh pasal calon” katanya kepada pemberita pada Program Larian Estet 2018 di Homestay D’Belimbing, di sini, hari ini.

Katanya, krisis dalaman yang berlaku ini diharap menjadi medan penilaian oleh rakyat sebelum membuat pilihan untuk mengundi parti mana pada pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga timbalan presiden PKR mengakui Pakatan Harapan di Selangor masih belum mencapai kesepakatan berhubung pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengakuan itu sekali gus mengesahkan wujudnya kemelut dalaman antara DAP, PKR, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berhubung isu tersebut yang sehingga kini gagal diselesaikan. — Bernama 

Lagi Video di MMOTV