projekmmoBerita

Pakar bedah terima anugerah di Singapura

Pakar bedah Vaskular Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Datuk Dr Hanafiah Harunarashid (kiri) menerima anugerah fellowship daripada Akademi Perubatan Singapura. ― Foto BernamaPakar bedah Vaskular Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Datuk Dr Hanafiah Harunarashid (kiri) menerima anugerah fellowship daripada Akademi Perubatan Singapura. ― Foto BernamaKUALA LUMPUR, 28 Julai ― Keupayaan pakar perubatan Malaysia sering mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa, dan kejayaan terbaru negara melibatkan pakar bedah Vaskular Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Datuk Dr Hanafiah Harunarashid yang menerima anugerah fellowship daripada Akademi Perubatan Singapura.

Lebih manis lagi, pengiktirafan itu yang mengharumkan nama negara itu disaksikan oleh Presiden Singapura Dr Tony Tan Keng Yam yang menjadi tetamu kehormat pada majlis itu yang diadakan di Singapura pada 22 Julai lepas.

Dr Hanafiah, 50, yang pernah menjadi rakyat Malaysia pertama dan termuda menerima International Surgical Award daripada Royal College of Surgeons Edinburgh Scotland pada 2015, menyifatkan pemberian anugerah itu membuktikan bidang perubatan Malaysia adalah setaraf dengan negara maju. 

“Ini merupakan penghargaan besar kepada negara khususnya institusi perubatan, dan paling membanggakan ia diberikan pada majlis yang begitu bermakna iaitu ketika sambutan ulang tahun ke-60 Akademi Perubatan Singapura.

“Penghargaan ini secara tidak langsung menjadi simbol kejayaan buat semua pakar bedah negara dan ini membuktikan kepakaran kita diiktiraf pihak luar,” katanya kepada Bernama. 

Melalui pengiktirafan itu, beliau berharap ia dapat memantapkan jalinan kerjasama di antara negara-negara Asean dalam pembangunan industri perubatan serta melahirkan pelapis pakar bidang perubatan khususnya pembedahan. 

Berpengalaman hampir 20 tahun dalam bidang perubatan, Dr Hanafiah merupakan Presiden Kolej Pembedahan di Akademi Perubatan Malaysia serta Penasihat Pembedahan Antarabangsa Kolej Diraja Pakar Bedah Edinburgh. ― Bernama

Lagi Video di MMOTV