projekmmoBerita

Pakai baju wanita, dua lelaki Singapura dipenjara setahun

Mahkamah Abu Dhabi menjatuhi hukuman penjara setahun ke atas dua lelaki warga Singapura kerana memakai pakaian wanita. — Foto AFPMahkamah Abu Dhabi menjatuhi hukuman penjara setahun ke atas dua lelaki warga Singapura kerana memakai pakaian wanita. — Foto AFPSINGAPURA, 25 Ogos — Rakyat Singapura diingatkan bahawa mereka harus menghormati dan mematuhi undang-undang tempatan apabila mereka melakukan perjalanan ke luar negara, kata Kementerian Hal Ehwal Luar (MFA).

Ingatan ini dikeluarkan selepas Mahkamah Abu Dhabi pada Isnin (21 Ogos) menjatuhi hukuman penjara selama setahun ke atas dua lelaki warga Singapura kerana memakai pakaian wanita di khalayak ramai.

Kedua-dua mereka ditahan di Abu Dhabi, ibu negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) awal bulan ini.

“Para pegawai dari Kedutaan Singapura di Abu Dhabi bertemu dengan kedua-dua rakyat Singapura itu pada 23 Ogos untuk memastikan mereka terus berada dalam keadaan baik semasa ditahan,” kata jurucakap kementerian bagi menjawab pertanyaan media untuk maklumat terkini mengenai kedua-dua mereka.

Jurucakap itu berkata wakil kedutaan juga menghadiri perbicaraan untuk ikat jamin pada 24 Ogos.

“Ini kali keempat kedutaan bertemu dengan kedua-dua warga Singapura tersebut sejak penahanan mereka.  

"Kali pertama kedutaan bertemu dengan mereka ialah pada hari yang sama kedutaan dimaklukan mengenai kes mereka pada 10 Ogos,” kata jurucakap itu.

MFA berkata kedutaan akan terus menyediakan bantuan konsular yang perlu dan memantau dengan rapi perkembangan bagi memastikan proses yang sewajarnya diberikan kepada mereka.

MFA juga telah berhubung rapat dengan keluarga kedua-dua rakyat Singapura itu. — Bernama

Lagi Video di MMOTV