projekmmoBerita

‘Not my negara’ kecewakan peminat, bekas pemain ulas TMJ

Tunku Ismail Sultan Ibrahim (kiri) bersama Nelo Vingada ketika memperkenalkan jurulatih baru di Kuala Lumpur, 24 Mei 2017. — Foto Bernama Tunku Ismail Sultan Ibrahim (kiri) bersama Nelo Vingada ketika memperkenalkan jurulatih baru di Kuala Lumpur, 24 Mei 2017. — Foto Bernama KUALA LUMPUR, 13 Okt — Kenyataan Tunku Mahkota Johor berhubung kemerosotan skuad Harimau Malaya mengguris hati peminat, kata bekas pemain negara.

Baginda sewaktu disoal media kelmarin berkaitan kemerosotan sejak awal tahun berkata: “Pasukan negara anda semua, not my negara. I'm from Johor you know.”

Khalid Ali berkata kenyataan Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu “di luar jangkaan peminat” selepas dipilih menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Sukar untuk katakan apakah reaksi saya termasuk peminat-peminat apabila mendengar titah Tunku Ismail,” kata Khalid seperti dilapor Kosmo!.

“Namun secara tidak langsung saya fikir titah baginda telah mengguris hati peminat-peminat bola sepak tempatan.”

Khalid berkata sebagai pemimpin berwawasan tinggi, beliau bimbang titah TMJ itu “boleh memecahbelahkan peminat negeri lain dengan Johor”.

Sementara itu, seorang lagi bekas pemain Bakri Ibni berkata beliau “agak sukar” untuk mempercayai apabila mendengar kenyataan Tunku Ismail itu.

Katanya, selama ini rakyat berharap TMJ memberi harapan tinggi kepada baginda untuk menjadikan Harimau Malaya berjaya seperti kelab JDT.

“Namun, saya agak sukar percaya apabila mendengar titah baginda kerana Tunku Ismail ialah seorang pemimpin berjiwa rakyat dan memiliki pendidikan tinggi.

“Saya percaya baginda akan memohon maaf kerana Tunku Ismail ialah seorang yang berjiwa rakyat,” katanya, yang membantu negara layak ke sukan Olimpik Moscow.

Lagi Video di MMOTV