projekmmoBerita

Noh: Azmin tidak tahu undang-undang isu roboh rumah

Rumah di tepi lapangan terbang Subang dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan Selangor, 4 Oktober 2017. ― Foto ihsan Facebook/Rayme Rahman Rumah di tepi lapangan terbang Subang dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan Selangor, 4 Oktober 2017. ― Foto ihsan Facebook/Rayme Rahman PUTRAJAYA, 7 Okt ― Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar menyifatkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak tahu undang-undang apabila menuding jari kepadanya berhubung isu meroboh tiga rumah dan dua rumah kedai di Subang pada Rabu lepas.

Noh, yang juga pengerusi perhubungan Umno Selangor, berkata kerja-kerja merobohkan rumah dan kedai tersebut dijalankan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri Selangor.

“Kalau penguatkuasa (PBT) di bawah kementerian, saya sudah telefon jangan roboh, selesai dahulu masalah rumah penghuni.

“Walaupun ada arahan dari mahkamah untuk robohkan, tetapi kita tolonglah rakyat untuk selesaikan masalah, bukannya terus roboh lepas itu baru fikir bagaimana hendak beri rumah kepada penghuni,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Badan Pengurusan Strata di sini, hari ini.

Sebelum ini, Mohamed Azmin berkata Noh yang sepatutnya menghalang kerja-kerja merobohkan rumah dan kedai berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah itu kerana tanah tersebut adalah milik kerajaan persekutuan.

Noh berkata isu tersebut bukan soal pemilikan tanah tetapi mengenai pihak yang bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja meroboh iaitu PBT.

Bagi meringankan beban 17 penghuni terbabit, katanya, beliau telah memberi kelulusan segera supaya mereka dipindahkan ke rumah dan kedai baharu.

“Selasa ini (10 Okt) saya akan berikan kunci rumah dan kedai di tempat saya. Hendak harap kerajaan negeri, dia cakap saja... saya akan buat” katanya.

Noh bagaimanapun enggan mengulas mengenai rumah dan dan kedai yang bakal diberikan kepada penghuni tersebut dan akan memberitahu mengenainya semasa penyerahan kunci kelak. ― Bernama

Lagi Video di MMOTV