projekmmoBerita

Noh: 169 tahfiz daftar tapi tiada piawaian keselamatan

Tan Sri Noh Omar mendedahkan 252 tahfiz, termasuk 83 buah yang tidak berdaftar, tidak mematuhi piawaian keselamatan. — Foto oleh Choo Choy May  Tan Sri Noh Omar mendedahkan 252 tahfiz, termasuk 83 buah yang tidak berdaftar, tidak mematuhi piawaian keselamatan. — Foto oleh Choo Choy May KUALA LUMPUR, 25 Okt — Sebanyak 252 pusat tahfiz di seluruh negara didapati tidak mematuhi piawaian keselamatan kebakaran, demikian persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata jumlah itu merangkumi 169 pusat tahfiz berdaftar dengan jabatan agama negeri dan 83 yang tidak berdaftar.

Pemeriksaan yang dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke atas 1,238 pusat tahfiz dari 25 Sept hingga 17 Okt lalu turut mendapati hanya 80 institusi itu mendapat kelulusan bangunan daripada JBPM, katanya menjawab soalan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) di sini.

“Sebanyak 367 notis menghapuskan bahaya kebakaran telah dikeluarkan melibatkan pelbagai aspek keselamatan seperti tiada laluan kecemasan, tiada alat pemadam api dan pendawaian elektrik yang usang.

“Kita beri mereka tempoh 90 hingga 180 hari untuk pastikan mereka mengikuti syarat yang ditetapkan,” kata Noh.

Mengulas lanjut, beliau berkata satu inisiatif Skuad Bomba Tahfiz diperkenalkan pada Mei lepas bagi menangani masalah kebakaran di sekolah tahfiz, melibatkan sukarelawan dari institusi itu sendiri dan sehingga kini disertai oleh 319 sukarelawan.

“Kita juga mempergiat aktiviti ceramah, seminar dan demonstrasi kebakaran kepada 528 pusat tahfiz di seluruh negara. Risalah kebakaran juga telah diedarkan kepada sekolah tahfiz dan komuniti berdekatan sekolah,” katanya.

Pada masa sama beliau menyeru anggota parlimen dan pemimpin setempat mengambil tahu akan keperluan sekolah-sekolah tahfiz di kawasan masing-masing. — Bernama 

Lagi Video di MMOTV