projekmmoBerita

Nik Abduh tiada masa jenguk akar umbi, kata Mohd Nik Amar

YDP PAS Kawasan Pengkalan Chepa Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mahukan timbalan yang mempunyai masa menjaga akar umbi di kawasannya.—Foto oleh Yusof Mat IsaYDP PAS Kawasan Pengkalan Chepa Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mahukan timbalan yang mempunyai masa menjaga akar umbi di kawasannya.—Foto oleh Yusof Mat IsaKOTA BHARU, 20 Mac — Akar umbi PAS di Pengkalan Chepa tidak menolak legasi Datuk Nik Aziz Nik Mat, susulan kekalahan anaknya merebut jawatan timbalan yang dipertua kawasan itu, kata timbalan menteri besar Kelantan. 

Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mempertahankan jawatannya sebagai Yang Dipertua berkata pendokong PAS mahu pemimpin yang mempunyai masa dan dapat memberi tumpuan sepenuh di kawasan yang diketuainya ketika ini, lapor Berita Harian.

Naib presiden PAS itu berkata anak bekas mursyidul am itu juga “tidak mempunyai masa” kerana memegang tanggungjawab “lebih besar” sebagai ketua Pemuda PAS pusat dan ahli parlimen Pasir Mas. 

“Saya sebagai yang dipertua kawasan Pengkalan Chepa juga sibuk dengan tugasan lain, maka lebih elok jika timbalan saya adalah individu yang mempunyai masa. 

“Dr Izani Husin adalah orang paling layak memandangkan beliau juga ahli parlimen Pengkalan Chepa. 

“Itu pandangan saya mengenai kekalahan Nik Abduh dan ia tidak bermakna orang menolak beliau atau legasi bapanya,” katanya.

Kelmarin, Nik Abduh tewas dalam pemilihan jawatan nombor dua di peringkat kawasan Pengkalan Chepa dengan hanya mendapat 37 undi manakala Dr Izani memperoleh 209 undi. 

Sementara Utusan Online hari ini melaporkan Nik Abduh berkata beliau bertanding jawatan timbalan yang dipertua kawasan itu hanya “sekadar suka-suka”.

“[...] Saya hanya bertanding sekadar suka-suka sahaja. Jawatan yang sudah ada ini (ketua Pemuda PAS) pun sudah tidak larat hendak pikul,” katanya.

Lagi Video di MMOTV