projekmmoBerita

NGO gesa polis halang Hindraf anjur protes Zakir Naik

Tiga NGO itu mendakwa protes yang dirancang adalah bagi menentang seorang mufti dan pendakwah terkenal Dr Zakir Naik. — Foto BernamaTiga NGO itu mendakwa protes yang dirancang adalah bagi menentang seorang mufti dan pendakwah terkenal Dr Zakir Naik. — Foto BernamaBUKIT MERTAJAM,15 Mei ― Tiga badan bukan kerajaan (NGO) Pulau Pinang hari ini meminta polis mengambil tindakan terhadap Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang didakwa cuba menghasut masyarakat India di negeri ini supaya menganjurkan protes besar-besaran di sebuah kuil Hindu di Butterworth, dekat sini Ahad ini.

Pengerusi Pertubuhan dan Kebajikan Dakwah Islamiah (Pekida) Pulau Pinang Mohd Hilme Ibrahim yang mewakili tiga NGO itu, berkata protes yang dirancang pada pukul 4.30 petang itu adalah bagi menentang seorang mufti dan pendakwah terkenal Dr Zakir Naik.

“Terdapat dua kain rentang digantung di kawasan Jalan Telaga Air dan Perai, Butterworth yang menghasut masyarakat India supaya menganjurkan protes itu... Kami merasakan penggantungan kain rentang itu mempunyai unsur hasutan.

“Malah penganjuran protes itu juga dibimbangi akan menyebabkan berlakunya ketegangan kaum dan agama serta mengancam perpaduan negara.

“Jadi kami harap polis dapat menghalang protes itu demi keamanan negara,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini hari ini.

Turut membuat laporan polis itu ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Pulau Pinang dan Persatuan Ibu Tunggal Pulau Pinang. ― Bernama

Lagi Video di MMOTV