projekmmoBerita

Mustapa nafi bincang agihan kerusi PRU14 dengan PAS

Mustapa menafikan dakwaan beliau mengadakan pertemuan sulit dengan PAS membincangkan agihan kerusi PRU14. — Foto BernamaMustapa menafikan dakwaan beliau mengadakan pertemuan sulit dengan PAS membincangkan agihan kerusi PRU14. — Foto BernamaKOTA BHARU, 20 Mac — Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed menafikan beliau pernah mengadakan pertemuan sulit dengan Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Ahmad Yaakob berhubung agihan kerusi untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).  

Mustapa, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan berkata perkara itu adalah tidak benar dan tidak berasas kerana BN tetap dengan keputusan untuk merampas negeri itu daripada tangan PAS. 

“Saya tidak pernah bincang perkara ini dengan mana-mana pihak lebih-lebih lagi dengan Menteri Besar (Ahmad). Kita (cuma) kerjasama dalam hal tertentu seperti banjir, pelaburan dan hal berkaitan faedah untuk rakyat Kelantan. 

“(Cita-cita untuk menawan Kelantan) masih sama...tiada perubahan. Kami berjuang untuk mengambil alih kerajaan negeri Kelantan (dari pimpinan PAS). 

“Anak buah saya cukup bersemangat dan Insya Allah kita akan teruskan usaha dan kerja keras untuk pastikan penantian begitu lama akan menjadi kenyataan,” katanya. 

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Pidato Piala YB Tok Pa anjuran persatuan Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Pengkalan Chepa di sini, semalam. 

Hadir sama Presiden HIMSAK Datuk Mohd Faizal Daud dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK Prof Madya Abdul Aziz Ab Latif.

Pertandingan pidato selama tiga hari itu bermula Jumaat lepas dan berakhir hari ini disertai 83 pemidato dari kalangan pelajar universiti, sekolah dan orang awam. 

Sebelum ini, dakwaan bahawa Mustapa mengadakan pertemuan sulit dengan Ahmad bagi membincangkan kerjasama berkenaan tular di laman sosial. 

Mustapa bagaimanapun tidak menolak kemungkinan ia akan berlaku pada masa depan kerana keadaan politik yang sentiasa berubah-ubah. 

“(Presiden UMNO) Datuk Seri Najib Tun Razak kata dalam politik kita tak boleh ramalkan apa yang akan berlaku, tidak ada ketentuan,” katanya.

Dalam masa yang sama, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri tidak menolak kemungkinan menubuhkan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bayangan daripada BN selepas ini. — Bernama 

Lagi Video di MMOTV