projekmmoBerita

Mukim Matang diwarta kawasan wabak anjing gila

Pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak menghapus seekor anak anjing yang menunjukkan simptom virus rabies di Kampung Lebor, Gedong, 5 Julai 2017. — Foto BernamaPegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak menghapus seekor anak anjing yang menunjukkan simptom virus rabies di Kampung Lebor, Gedong, 5 Julai 2017. — Foto BernamaIPOH, 17 Julai — Kerajaan Perak mewartakan mukim Matang dalam daerah Larut Matang dan Selama sebagai kawasan penyakit anjing gila atau rabies, berkuatkuasa hari ini.

Menteri besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pewartaan itu dikeluarkan di bawah Perintah Kawasan Jangkitan Penyakit Anjing Gila berkuatkuasa hari ini.

“Ia dilakukan dengan kuasa yang diberikan oleh Subseksyen 39(1) Akta Binatang 1953 (Akta 647).

“Walaupun kes ini terpencil dan hanya melibatkan satu kes tetapi perintah ini perlu dilakukan dan langkah-langkah seperti membendung perlu diadakan bagi mengawal ia daripada terus merebak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Setiausaha-setiausaha Kerajaan Negeri mengenai tindakan terhadap isu laporan Ketua Audit Negara di sini hari ini.

Pada 4 Julai lepas, dua kanak-kanak perempuan masing-masing berumur 11 dan 12 tahun di Kuala Sepetang digigit anjing perliharaan mereka sebelum haiwan itu mati lapan hari kemudian. 

Zambry berkata, di bawah perintah itu, mana-mana individu dilarang membawa keluar sebarang anjing dari mukim berkenaan melainkan dengan kebenaran bertulis  daripada pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Perak Dr Fuziah Muhayat.

Katanya pemilik atau orang yang bertanggungjawab ke atas mana-mana anjing dalam kawasan jangkitan penyakit anjing gila hendaklah memastikan anjing mereka  disimpan dengan kawalan ketat.

“Sama ada dengan mengurungkannya dalam kawasan tertutup yang mana tidak memungkinkan anjing itu melepaskan diri, mengikatnya dengan selamat.

“...menuntunnya menggunakan rantai, tali pintal  atau kulit  yang diikat dengan kuat pada relang leher atau abah-abah yang dipakai anjing itu,” katanya.

Beliau berkata mana-mana anjing yang berada di dalam kawasan jangkitan penyakit anjing gila yang tidak dikawal secara efektif, boleh dimusnahkan oleh pihak berkaitan yang diberi kuasa secara bertulis oleh pengarah DVS Perak.

Zambry berkata selain memusnahkan anjing yang tidak bertuan, DVS juga sedang melakukan  pemvaksinan terhadap anjing, malah telah membuat persampelan haiwan berkenaan.

“Masyarakat awam perlu memahami bahawa ia bukan satu wabak besar tetapi kerajaan negeri  perlu mengambil langkah pencegahan dan pengawalan bagi memastikan ia tidak terus merebak.

“Penduduk di mukim itu, yang merupakan kawasan laut, saya minta mereka agar bekerjasama sepenuhnya dengan langkah-langkah dibuat pihak kerajaan,” katanya. — Bernama

Lagi Video di MMOTV