projekmmoBerita

Menteri: Wakil Israel di KL bukan undangan Malaysia

Datuk Seri Anifah Aman menjelaskan jemputan kepada wakil Israel dibuat melalui agensi Program Penempatan Manusia PBB sebagai penganjur WUF9. — Foto BernamaDatuk Seri Anifah Aman menjelaskan jemputan kepada wakil Israel dibuat melalui agensi Program Penempatan Manusia PBB sebagai penganjur WUF9. — Foto BernamaKUALA LUMPUR, 15 Feb — Berdepan kritikan meluas, kerajaan hari ini menjelaskan diplomat Israel ke sini bukan atas undangan kerajaan Malaysia.

Wakil Israel menyertai Forum Bandar Sedunia Kesembilan (WUF9) baru-baru ini atas undangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor Berita Harian.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata surat undangan kepada wakil negara itu bukan ditandatangan oleh pegawai Malaysia.

Sebaliknya, tambah beliau, jemputan tersebut dibuat melalui agensinya Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat) sebagai penganjur WUF9.

Pengarah eksekutif UN-Habitat mengeluarkan undangan selaras dengan Perjanjian Negara Penganjur (HCA) antara badan itu dengan Malaysia.

“HCA ini adalah syarat bagi mana-mana persidangan PBB untuk diadakan di luar mana-mana ibu pejabat PBB yang sedia ada,” kata Anifah lagi.

Beliau menjelaskan kecaman ramai susulan penyertaan Israel dalam WUF9 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 7 hingga 13 Februari lalu.

Ahli parlimen Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mendakwa kerajaan membungkam persoalan rakyat mengenai kemasukan Israel.

Sementara, pemimpin PAS Riduan Mohd Nor menuduh kerajaan “melakukan satu dosa yang besar” dan menyifatkannya “tindakan hipokrit” dalam isu Palestin.

Lagi Video di MMOTV