projekmmoBerita

Menteri: Draf undang-undang berita palsu ke kabinet selepas CNY

Draf perincian untuk mewujudkan undang-undang baru kekang berita palsu akan dibentangkan di kabinet selepas Tahun Baru Cina. — Foto oleh Miera ZulyanaDraf perincian untuk mewujudkan undang-undang baru kekang berita palsu akan dibentangkan di kabinet selepas Tahun Baru Cina. — Foto oleh Miera ZulyanaKUALA LUMPUR, 13 Feb — Draf mengenai perincian bagi mewujudkan undang-undang baharu bagi mengekang berita palsu dijangka dibentangkan di kabinet selepas Tahun Baharu Cina, kata  Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata menerusi beberapa siri perbincangan dengan pihak berkepentingan, antara perkara yang diketengahkan ialah definisi berita palsu, agensi yang akan bertanggungjawab menilai sesuatu berita itu palsu atau benar, selain perlunya menilai sama ada komen yang diketengahkan adalah ulasan umum atau berniat jahat.

“Kita telahpun siap membuat draf dan terpulang kepada kabinet bagi menilai undang-undang yang mereka mahu dalam negara kita. Ini semua untuk manfaat umum termasuk orang yang popular, bukan untuk faedah pemimpin kerajaan. Jadi kena bincang dengan pemikiran terbuka,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar dan Diskusi Khas Hala Tuju Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Berkaitan Cadangan Kepada  Undang-Undang Berita Palsu kali ketiga yang turut dihadiri wakil pertubuhan bukan kerajaan, wakil media, pemimpin masyarakat dan agensi undang-undang.

Januari lepas, Azalina berkata kerajaan telah membentuk sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang baharu membendung berita palsu di negara ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata undang-undang itu perlu kerana rakyat boleh terpesong sehingga membenci kerajaan atau melakukan sesuatu seperti merusuh kerana terpengaruh dengan berita palsu.

Terdahulu, dalam ucapannya semasa merasmikan Seminar dan Diskusi Khas Hala Tuju YBGK, Azalina  berkata yayasan itu telah mengendalikan 846,905 kes sejak beroperasi pada 2012  sehingga Disember lepas, dengan purata lebih 10,000 kes dikendalikan setiap bulan.

Beliau berkata statistik itu menunjukkan YBGK merupakan yayasan yang diterima masyarakat dalam  memberikan perkhidmatan bantuan guaman dan khidmat nasihat untuk golongan kurang berkemampuan  dalam kes jenayah sivil dan syariah pada peringkat tangkapan reman, jaminan, mitigasi, peringkat perbincangan dan rayuan.

Azalina berkata sehingga kini, YBGK mempunyai 2,332 orang peguam panel yang berdaftar sejak diperbadankan pada 2011.

Menteri itu juga berkata selain YBGK, ada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, parti politik dan institut pengajian tinggi yang memberi perkhidmatan bantuan guaman misalnya Jabatan Bantuan Guaman (JBG) dan Pusat Bantuan Guaman (LAC).

“Menyedari kepelbagaian badan ini dan kemungkinan ada pertindihan bidang kuasa antara pelbagai agensi terutamanya yang menggunakan dana awam, maka seminar hari ini dianjurkan untuk menetapkan hala tuju YBGK yang lebih jelas agar pendekatan yang digunakan nanti memberi faedah kepada semua pihak khusus kepada golongan sasar,” katanya. — Bernama

Lagi Video di MMOTV