projekmmoBerita

Menteri: Budak tidak divaksin mungkin dihalang ke tadika

Dr Subramaniam berkata kementerian juga bekerjasama dengan agensi lain dalam menyediakan maklumat tepat mengenai kepentingan suntikan vaksin. — Foto BernamaDr Subramaniam berkata kementerian juga bekerjasama dengan agensi lain dalam menyediakan maklumat tepat mengenai kepentingan suntikan vaksin. — Foto BernamaKUALA LUMPUR, 28 Julai — Kerajaan sedang mengkaji untuk hanya membenarkan kanak-kanak yang telah divaksin sahaja untuk mendaftar di tadika, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam. 

Beliau berkata cadangan itu bukan suatu diskriminasi terhadap kanak-kanak yang tidak divaksin, sebaliknya sebagai langkah perlindungan terhadap kanak-kanak lain di tadika.

“Ia masih di peringkat kajian. Keputusan akan dibuat selaras dengan penerimaan rakyat Malaysia,” katanya menjawab soalan tambahan Dr Izani Husin (PAS-Pengkalan Chepa) mengenai sama ada kerajaan mahu mengenakan tindakan lebih tegas kepada ibu bapa yang enggan memberi imunisasi kepada anak-anak, di Dewan Rakyat semalam.

Katanya pendekatan itu turut diamalkan di Australia dengan tadika-tadika mewajibkan kanak-kanak yang telah divaksin sahaja dibolehkan mendaftar.

Dr Subramaniam berkata kementerian juga telah bekerjasama dengan agensi-agensi lain dalam menyediakan maklumat tepat mengenai kepentingan suntikan vaksin.

“Antara yang dilaksanakan ialah mewujudkan kumpulan advokasi imunisasi, menganjurkan forum dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan menyediakan maklumat di portal MyHealth untuk rujukan masyarakat,” katanya. — Bernama

Lagi Video di MMOTV