projekmmoBerita

MB: Luar bandar ‘medan perang’ untuk ubah Melayu

Datuk Seri Azmin Ali menyatakan cabaran utama pembangkang mengubah pengundi luar bandar, termasuk Melayu. — Foto oleh Ahmad Zamzahuri Datuk Seri Azmin Ali menyatakan cabaran utama pembangkang mengubah pengundi luar bandar, termasuk Melayu. — Foto oleh Ahmad Zamzahuri PETALING JAYA, 14 Feb — Kawasan pedalaman termasuk Felda akan menjadi medan pertempuran Pakatan Harapan pada pilihan raya nanti, kata Datuk Seri Azmin Ali.

Dalam wawancaranya dengan Nanyang Siang Pau, menteri besar Selangor juga menegaskan PH perlu bekerja keras demi memenangi sokongan orang Melayu.

Timbalan presiden PKR yakin partinya dan DAP boleh mempertahankan kerusi bandar seperti di Petaling Jaya atau Subang, yang dianggap kerusi campuran.

“Medan peperangan kita di kawasan pedalaman, kubu kuat orang Melayu, di Felda [termasuk] Sabah, Sarawak, Johor, Perak dan Pahang,” katanya.

“Masalah terbesar adalah kawasan kampung Melayu. Oleh sebab itu Pakatan Harapan mesti bekerja kuat, menjelaskan polisi kepada mereka.”

Azmin, wakil rakyat Gombak, berkata sokongan orang Melayu akan beralih jika PH mampu menunjukkan bahawa boleh menjaga hak dan kepentingan mereka.

“Seperti di Selangor, dulu ia kubu kuat Umno tetapi Pakatan Rakyat dahulu [2008] menunjukkan bahawa mereka boleh menjaga hak orang Melayu.

“Selagi kita boleh buatkan mereka percaya hak mereka terjamin, jadi mereka akan berubah,” katanya, yang juga wakil rakyat Bukit Antarabangsa.

Tambahnya, Pakatan Harapan perlu masuk kawasan kampung bagi menghapuskan dakwaan bahawa “tanpa Umno, hak orang Melayu akan hancur”. 

“[Kita perlu] menjelaskan Selangor tanpa Umno hak orang Melayu [tetap] dilindungi. Cina dan India juga berasa dilayan sama rata,” katanya.

Semua penduduk termasuk Cina dan India di Selangor saling menghormati agama masing-masing, dilayan sama rata dan hak mereka juga dijaga.

Baca seterusnya di Malay Mail

Lagi Video di MMOTV