projekmmoBerita

Malaysia di landasan betul lindungi hak asasi manusia, kata hakim

Zulkefli berkata hakim negara Asean perlu mengambil pendekatan yang disegani untuk proaktif dalam peranannya menangani kes hak asasi manusia. — Foto oleh Azinuddin GhazaliZulkefli berkata hakim negara Asean perlu mengambil pendekatan yang disegani untuk proaktif dalam peranannya menangani kes hak asasi manusia. — Foto oleh Azinuddin GhazaliKUALA LUMPUR, 14 Mac — Malaysia telahpun berada di landasan yang betul dalam melindungi hak asasi manusia melalui penggubalan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin berkata akta itu memperincikan kuasa dan fungsi suruhanjaya untuk melindungi dan memperjuangkan hak asasi manusia di Malaysia.

Beliau berkata antara fungsi dan kuasa Suruhanjaya ialah memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan berhubung hak asasi manusia dan menasihat dan membantu kerajaan dalam penggubalan perundangan serta arahan dan prosedur pentadbiran selain mengesyorkan langkah-langkah yang perlu diambil.

Beliau berucap pada sesi Kolokium Kehakiman Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) bertajuk “The Future of Judicial Cooperation on Human Rights Protection in Asean — Recommendations & The Way Forward” di sini hari ini.

Beliau berkata badan kehakiman Asean dan AICHR, kedua-duanya berpegang teguh kepada sistem yang sama iaitu kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia tidak dapat dilindungi sekiranya tidak ada kedaulatan undang-undang.

“Dan tiada kedaulatan undang-undang jika hak asasi manusia tidak dilindungi,” kata beliau.

Beliau juga berkata badan kehakiman negara anggota semuanya harus mempunyai peruntukan dalam undang-undang seperti semakan kehakiman, writ habeas corpus bagi membolehkan rakyatnya mencabar sebarang bentuk perlanggaran hak asasi manusia.

Zulkefli berkata badan kehakiman negara anggota boleh “memandang ke hadapan” ke arah penubuhan Mahkamah Khusus untuk menangani kes-kes pelanggaran dan penyalahgunaan hak asasi manusia.

Beliau juga berkata hakim-negara Asean perlu mengambil pendekatan yang disegani untuk proaktif dalam peranannya menangani kes-kes mengenai hak asasi manusia.

“Pelanggaran hak asasi manusia sering tertumpu kepada antara lain pertubuhan kerajaan, agensi penguatkuasa yang menjalankan kuasa serta pihak berkuasa.

“Justeru, perlu ada satu saluran atau prosedur untuk mencabar pelanggaran hak asasi manusia,” kata beliau.

Lebih 100 peserta termasuk hakim kanan dari cabang kehakiman tertinggi negara anggota ASEAN, wakil Majlis Ketua-ketua Hakim Asean dan wakil AICHR menghadiri program tiga hari itu yang bermula semalam. — Bernama 

Lagi Video di MMOTV