projekmmoBerita

Lynas desak tutup tapi kilang haram biar 10 tahun, kata MIC

Sabtu lalu, Phee Boon Poh (tengah) ditahan reman SPRM berhubung siasatan kilang haram di Bukit Mertajam. — Foto ihsan Facebook/Phee Boon PohSabtu lalu, Phee Boon Poh (tengah) ditahan reman SPRM berhubung siasatan kilang haram di Bukit Mertajam. — Foto ihsan Facebook/Phee Boon PohGEORGE TOWN, 15 Ogos — MIC hari ini membidas kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP kerana terang-terang membenarkan sebuah kilang yang mencemar alam sekitar beroperasi secara haram selama 10 tahun.

Bendahari agung MIC Datuk Seri S. Vell Paari berkata sebagai kerajaan negeri yang memperjuangkan sebagai Cekap, Amanah dan Telus (CAT), DAP telah terbukti sama sekali gagal untuk menonjolkan prinsip itu kerana membenarkan kilang tersebut beroperasi secara haram sehingga baru-baru ini.

Beliau berkata sebelum ini, apabila pelabur mahu membina kemudahan bertaraf dunia dengan mematuhi perundangan, Lynas, hampir semua pemimpin pembangkang mengadakan demonstrasi di Kuantan, Pahang mendesak Lynas ditutup.

“Bagaimanapun, kilang haram ini diberi layanan istimewa oleh kerajaan negeri. 

“Ke mana semua pemimpin pembangkang menghilangkan diri dan mengapa tidak kedengaran suara bantahan untuk kilang ini ditutup seperti yang mereka lakukan ke atas Lynas sebelum ini?,”kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Khamis lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu ke sebuah kilang haram memproses serbuk kayu bagi kegunaan penghasilan penapis karbon di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam yang mencemar alam sekitar dan menahan anggota Exco Phee Boon Poh bersama pengurus kilang dan anak lelakinya untuk membantu siasatan.

Merujuk kepada laporan yang disiarkan oleh sebuah portal berita dalam talian pada Ahad, Vell Paari berkata Ketua Menteri Lim Guan Eng akhirnya mengaku bahawa kilang pemprosesan penapis karbon itu adalah haram dan kerajaan negeri menutup mata kepada kilang itu yang beroperasi secara haram sejak 10 tahun lalu.

Beliau mendakwa bahawa Lim tidak merobohkan kilang haram tersebut kerana kerajaan negeri sedang merundingkan penyelesaian secara baik tetapi apakah terma dan syarat-syarat bagi perundingan itu.

“Kerajaan negeri sedar tentang status haram kilang tersebut tetapi membenarkannya beroperasi dengan restu kerajaan negeri. Berapa banyakkah syarikat haram diberikan layanan istimewa ini?” kata beliau.

Isu mengenai kilang haram telah dibangkitkan oleh anggota Dewan Undangan Negeri PKR dari Penanti Dr Norlela Ariffin pada persidangan dewan undangan negeri dengan mendakwa banyak kilang haram dibenarkan beroperasi di Penanti tanpa sebarang tindakan diambil oleh kerajaan negeri. — Bernama

Lagi Video di MMOTV