projekmmoBerita

‘Line Clear’ Kg Baru bersih, tiada kaitan di Pulau Pinang

Seorang pekerja restoran LC Kg Baru di Kuala Lumpur menunjukkan hidangan mereka, 16 Mac 2017. — Foto oleh Yusof Mat Isa Seorang pekerja restoran LC Kg Baru di Kuala Lumpur menunjukkan hidangan mereka, 16 Mac 2017. — Foto oleh Yusof Mat Isa KUALA LUMPUR, 16 Mac — Dua restoran berbeza, walau berkongsi sejarah awal, Restoran LC di Kampung Baru di sini tetap bersih dan makanannya terjamin, kata pemiliknya.

Pelanggannya — yang ingin menikmati cita rasa nasi kandar Line Clear di sini — tidak perlu risau dengan penutupan premis Line Clear di Pulau Pinang, kata Salim Madinah.

Beliau mendakwa pengusaha nasi kandar itu terkena tempias tanggapan negatif susulan isu Line Clear yang dicemari makhluk perosak sehingga ditutup dua minggu mulai Isnin lepas.

"Kebersihan di LC Kg Baru sentiasa diutamakan dan terbaru pada 9 Januari kami mendapat penilaian amat memuaskan oleh Unit Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya.

Tanggapan silap muncul di media sosial ekoran penutupan dua premis di Penang Road selepas pemeriksaan Jabatan Kesihatan mendapati ia dicemari tikus dan lipas.

Bagi membuktikan jaminannya, Salim mengajak pelanggan menjenguk dapur restoran mereka.

"Ya pelanggan boleh masuk tengok cara kerja kami kerana kami memang mengamalkan konsep dapur terbuka, tetapi mesti minta kebenaran dahulu," katanya dalam sidang media.

Peminat nasi kandar cita rasa Line Clear beratur panjang di restoran LC Kg Baru di Kuala Lumpur, 16 Mac 2017. — Foto oleh Yusof Mat Isa Peminat nasi kandar cita rasa Line Clear beratur panjang di restoran LC Kg Baru di Kuala Lumpur, 16 Mac 2017. — Foto oleh Yusof Mat Isa Seorang lagi pemiliknya Mohd Faisal Akbar Ali meragui dakwaan Line Clear di Pulau Pinang telah disabotaj.

"Ketika kami menjaga perniagaan [di Pulau Pinang] semuanya berjalan lancar," katanya.

Konflik di kalangan keluarga pengusaha nasi kandar popular itu, sejak 1949, menyebabkan mahkamah mengarahkan mereka mengendalikan restoran itu mengikut sistem penggiliran.

Keputusan itu mendorong sebilangan ahli keluarga membuka cawangan di sini sejak setahun lalu.

"LC Kg Baru ini memang berasal dari Line Clear Pulau Pinang tetapi pengurusan di sana hari ini dikendalikan oleh pekerja kami yang telah diberi amanah mengikut giliran yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

"Kami amat kecewa dan malu kerana sepanjang giliran kami menguruskan Line Clear Pulau Pinang tidak pernah hal seburuk ini berlaku," kata Mohd Faisal lagi.

Lagi Video di MMOTV