projekmmoBerita

Lepas masuk Amanah, anak saudara tidak sanggup cabar Hadi Awang

Hadi kini merupakan ahli Parlimen Marang dan Adun Rhu Rendang. ― Foto oleh Yusof Mat IsaHadi kini merupakan ahli Parlimen Marang dan Adun Rhu Rendang. ― Foto oleh Yusof Mat IsaMARANG, 18 Mei — Anak saudara presiden PAS keberatan untuk bertanding melawan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pilihan raya akan datang.

Miqdad Zakaria yang juga ketua Parti Amanah Negara Marang berkata Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bukanlah waktu sesuai untuk menentang Hadi.

“Kalau Amanah pilih saya untuk berhadapan dengan keluarga sendiri di DUN Rhu Rendang, saya minta maaf dululah.

“Selepas ini Insya Allah kalau masa sudah banyak, banyak perkara diselesaikan di peringkat akar umbi, saya akan terima,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Hadi kini merupakan ahli Parlimen Marang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang.   

Miqdad berkata pendiriannya untuk tidak menjadi calon PRU14 jelas walaupun Hadi tidak mempertahankan kerusi sama.

Katanya, penyertaannya ke dalam Amanah adalah untuk mengubah landskap politik Marang.  

“Realitinya kena lihat dari sudut isu itu sendiri, tadi saya bercakap isu keluarga, saya tidak sanggup lagi berhadapan dengan keluarga.

“Saya tidak mahu benda yang sudah retak [akhirnya] diputuskan terus, itu tidak boleh [berlaku].

“Tetapi jika isu itu boleh menguntungkan Umno, saya akan desak seorang wakil dari Amanah sendiri atau Pakatan Harapan untuk berhadapan dengan PAS,” dia dilaporkan berkata.

Lagi Video di MMOTV