projekmmoBerita

Lelaki Pakistan dilarikan, tangan bergari di rumah kedai

Seorang lelaki warga Pakistan yang bergari tangan diselamatkan anggota bomba Kota Anggerik di Taman TTDI Jaya pagi tadi. — Foto ihsan Balai Bomba dan Penyelamat Kota AnggerikSeorang lelaki warga Pakistan yang bergari tangan diselamatkan anggota bomba Kota Anggerik di Taman TTDI Jaya pagi tadi. — Foto ihsan Balai Bomba dan Penyelamat Kota AnggerikSHAH ALAM, 13 Sept — Seorang lelaki warga Pakistan ditemui dengan keadaan kedua-dua tangannya digari di atas balkoni sebuah rumah kedai di Seksyen 22 , Taman TTDI Jaya, di sini awal hari ini.

Timbalan  Ketua Polis Daerah Shah Alam Supt Nek Zaidi Zakaria berkata lelaki yang berumur 40 tahun itu dipercayai dilarikan tiga lelaki, termasuk seorang lelaki warga Arab, dari rumah mangsa di Klang kira-kira pukul 8 malam tadi, sebelum meninggalkan mangsa seorang diri di balkoni rumah kedai berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan seorang peniaga gagal membayar hutang berjumlah RM100,000 kepada rakan kongsinya.

“Disebabkan itu, rakan kongsi mangsa dikatakan bertindak menggari dan membiarkan mangsa di balkoni sebelum dia diselamatkan kira-kira 6.30 pagi tadi selepas kelibatnya disedari orang awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Nek Zaidi berkata pihak bomba dari balai Kota Anggerik di sini, terpaksa menggunakan tangga untuk menurunkan lelaki itu sebelum menyerahkannya kepada polis.

Katanya polis  sedang berusaha mengesan kesemua suspek terbabit. — Bernama

Lagi Video di MMOTV