projekmmoBerita

Lelaki misteri kes bunuh Jong-nam masih di Malaysia?

Lelaki warga Korea Utara yang disyaki terlibat dalam kes bunuh Kim Jong-nam (foto) mungkinan masih di Malaysia. — Foto ReutersLelaki warga Korea Utara yang disyaki terlibat dalam kes bunuh Kim Jong-nam (foto) mungkinan masih di Malaysia. — Foto Reuters

SHAH ALAM, 13 Nov — Seorang pegawai penyiasat memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa lelaki warga Korea Utara, Ri Ji-u yang gambarnya ditemui dalam telefon bimbit milik tertuduh Siti Aisyah yang didakwa membunuh Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un berkemungkinan masih berada di negara ini.

Pegawai penyiasat kanan dari ibu pejabat polis daerah (IPD) Sepang/KLIA ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz bersetuju dengan cadangan peguam Gooi Soon Seng, yang mewakili Siti Aisyah, bahawa Ri Ji masih berada di Malaysia berikutan beliau tidak pernah membuat sebarang semakan keluar masuk lelaki berkenaan ke negara ini.

Saksi pendakwaan kesembilan itu, bagaimanapun, menjawab “tidak tahu” apabila dicadangkan Ri Ji memasuki negara ini dari Phnom Penh, Kemboja pada 21 Jan lalu dengan penerbangan Malaysia Airlines.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan hari ke-16 kes warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan Doan Thi Huong, 28, didakwa bersama-sama empat yang lain yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan, Lapang Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9 pagi, 13 Feb lalu.

Terdapat dua gambar Ri Ji dalam telefon bimbit Siti Aisyah iaitu ketika lelaki itu berada di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur  (KLIA).

Mengenai  wang AS$38,000 (RM160, 626) yang ditemui di sebuah kondominium yang diduduki oleh seorang suspek  warga Korea Utara, Ri Jong-chol, Wan Azirul Nizam berkata menurut keterangan yang diambil daripada lelaki itu,  wang tersebut diterima daripada empat lelaki Korea Utara.

Saksi itu berkata empat lelaki itu ialah Kim Chun-hui  dan tiga lagi lelaki yang beliau tidak ingat namanya.

“Dia (Ri Jong)  menerima wang itu pada Oktober 2016 untuk membeli ‘mee lembut’ untuk dihantar ke Korea Utara.  Saya juga tidak membuat siasatan lanjut,” katanya sambil menambah lelaki itu menyewa kondominium tersebut sejak 19 Mei 2015 dengan kadar bayaran RM1,700 sebulan.

Katanya, Ring Jong  akan membuat bayaran tunai kepada (pemilik rumah) pada setiap hujung bulan dan pemilik rumah itu akan mengambil wang itu di kondominium berkenaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung esok. — Bernama

Lagi Video di MMOTV