projekmmoBerita

Kos meningkat, pengusaha tuntut tambang bas ekspres anjal

PMBOA turut memohon kerajaan agar menyediakan peruntukan khas untuk melahirkan lebih ramai pemandu bas ekspres. — Foto Malay MailPMBOA turut memohon kerajaan agar menyediakan peruntukan khas untuk melahirkan lebih ramai pemandu bas ekspres. — Foto Malay MailMELAKA, 12 Okt — Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) meminta kerajaan memansuhkan penetapan kadar tambang bas ekspres bagi membantu operator menyediakan perkhidmatan lebih baik selain memastikan industri bas di negara ini berkembang dengan pesat.

Presiden PMBOA Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata sebaliknya, operator bas dibenarkan mengenakan tambang lebih fleksibel terhadap perkhidmatan yang ditawarkan mereka selaras dengan keperluan semasa serta memberi pilihan kepada pengguna memilih perkhidmatan terbaik.

“Kali terakhir kenaikan tambang bas ekspres adalah pada Mei 2013 iaitu pada kadar 9.3 sen bagi setiap kilometer dan kita telah berulang kali memohon kerajaan untuk melihat perkara ini namun sehingga kini tiada respons positif diperoleh.

“Langkah deregulasi (tidak menetapkan) kadar tambang bas adalah penting pada masa kini kerana ia bukan sahaja membantu operator meneruskan perniagaan mereka tetapi pada masa sama pengguna dapat menikmati perkhidmatan yang lebih baik,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata operator bas ekspres sentiasa menghadapi kenaikan kos operasi berikutan kenaikan gaji pekerja, bahan bakar, alat ganti, tol dan pemasangan pelbagai alat keselamatan di dalam bas.

Katanya selain itu, terdapat juga terminal bas yang telah diswastakan seperti di Melaka dan Johor yang mengenakan caj kepada operator bas bagi setiap bas yang memasuki terminal berkenaan.

Mohamad Ashfar berkata keadaan berkenaan turut menyebabkan sebahagian pengusaha bas khususnya bas ekspres terpaksa mengecilkan operasi mereka dan secara tidak langsung memberi impak negatif pada industri pengangkutan awam negara.

Beliau berkata berdasarkan rekod terkini, kira-kira 110 syarikat bas ekspres dan bas henti-henti di negara ini berdaftar di bawah persatuan itu.

Sementara itu, beliau berkata PMBOA turut memohon kerajaan agar menyediakan peruntukan khas untuk melahirkan lebih ramai pemandu bas ekspres bagi meringankan beban pengusaha bas ekoran bayaran yang tinggi sekitar RM5,000 untuk mendapatkan lesen bagi seorang pemandu.

“Secara purata industri bas negara kekurangan kira-kira 3,000 pemandu setiap tahun kerana pelbagai faktor antaranya pemandu bersara dan kegagalan mendapatkan pemandu baharu ekoran harga lesen yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata kira-kira 3,000 bas ekspres dimiliki pengusaha di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak melibatkan 6,000 pemandu. — Bernama

Lagi Video di MMOTV