projekmmoBerita

KJ: Jangan jadi pejuang palsu, ikut saluran jika mahu ubah dunia

 Khairy Jamaluddin menggesa anak muda menggunakan saluran aktivisme yang betul jika benar mereka serius ingin menyumbang kepada masyarakat. ― Foto oleh Choo Choy May Khairy Jamaluddin menggesa anak muda menggunakan saluran aktivisme yang betul jika benar mereka serius ingin menyumbang kepada masyarakat. ― Foto oleh Choo Choy MayKUALA LUMPUR, 15 Jan ― Generasi belia yang terdesak ingin “mengubah dunia” digesa memilih saluran betul bagi mengelak dari menjadi seperti tiga rakyat Malaysia yang terbunuh di Syria.

Sebaliknya, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mempelawa mereka menyertai program sukarelawan MYCorps di bawah kementeriannya, yang menyaksikan hampir 50 sukarelawan muda berada di kem-kem pelarian Syria di Turki, Lubnan dan Jordan menyumbang pelbagai jenis bantuan kemanusiaan.

“Saya mengalakkan anak muda Malaysia yang ingin membantu, yang ingin mengubah dunia, yang ingin berjuang bagi pihak pelarian Syria, jangan jadi pejuang-pejuang palsu dengan Daesh, kerana itu adalah cara tidak betul.

“Kalau ingin membantu, jadi sukarelawan yang bantu manusia, bukan jadi seseorang yang musnahkan kehidupan orang,” katanya kepada pemberita selepas menutup Karnival Kewangan yang turut dihadiri Gabenor Bank Negara Datuk Muhammad Ibrahim di sini hari ini.

Khairy mengulas laporan mengenai tiga rakyat Malaysia ― Zainuri Kamruddin, 50, juga dikenali sebagai Abu Talhah, Ahmad Asyraf Arbee Ahmad Jamal Arbee, 31, dan Sazrizal Mohd Sofian Thayalan, 27 ― yang terbunuh dalam serangan udara oleh tentera Syria di Raqqah, Syria, Jumaat lepas.

Mengulas mengenai Karnival Kewangan yang julung kali dianjurkan Bank Negara, Khairy berkata penganjurannya amat bertepatan dengan situasi kerana berdasarkan statistik Jabatan Insolvensi, sejumlah 18,457 individu berusia seawal 25 sehingga 34 tahun telah diisytihar muflis pada 2015.

“Hal ini amat membimbangkan kerana pada usia itu, kebanyakan mereka baru sahaja ‘memulakan hidup’,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan, beliau turut memuji Bank Negara yang melaksanakan inisiatif sedemikian yang  menurutnya, sejajar hasrat kerajaan untuk melihat lebih ramai generasi muda celik pengurusan kewangan. ― Bernama

Lagi Video di MMOTV