projekmmoBerita

Khalid tolak tawaran PAS, enggan tanding PRU14

Tan Sri Khalid Ibrahim menyatakan pendirian tidak akan bertanding PRU14. ― Foto oleh Yusof Mat IsaTan Sri Khalid Ibrahim menyatakan pendirian tidak akan bertanding PRU14. ― Foto oleh Yusof Mat IsaKUALA LUMPUR, 8 Feb ― Bekas menteri besar Selangor tidak bercadang untuk bertanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, PAS tidak perlu bertelingkah untuk menawarkannya bertanding kerana pendiriannya untuk tidak menjadi wakil rakyat sudah dinyatakan sebelum ini.

“Ada laporan mengatakan terdapat pemimpin PAS Selangor protes tentang tawaran yang dibuat kepada saya.

“Tidak perlulah mereka bertelingkah dan berasa gusar tentang perkara itu kerana sudah saya nyatakan saya tidak akan bertanding pada PRU14,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.

PAS Selangor sebelum ini dilaporkan sedia menyokong ahli parlimen Bandar Tun Razak itu untuk bertanding atas tiket PAS di Selangor tanpa perlu menjadi ahli parti itu.

Ia dibuat selepas Khalid menyatakan kesediaan membantu PAS dalam kempen pilihan raya.

“Sekarang ini saya hanya mahu melakukan amal demi pembangunan ummah dan negara.

“Sebab itulah saya menyokong PAS kerana ia sebuah parti yang berasaskan kebajikan dan membuat kebaikan tanpa rasa takut dan tanpa mengharapkan balasan,” katanya.

Beliau mendakwa ada pihak yang tidak senang melihat dirinya rapat dengan PAS namun percaya rakyat boleh membaca antara kebenaran dan hasutan. 

Lagi Video di MMOTV