projekmmoBerita

Kes Khalid Samad lawan Mais tamat, diarah bayar RM10,000

Kes Khalid Samad lawan Mais tamat, diarah bayar RM10,000. — Foto oleh Saw Siow FengKes Khalid Samad lawan Mais tamat, diarah bayar RM10,000. — Foto oleh Saw Siow FengPUTRAJAYA, 10 April — Tindakan anggota parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad mencabar kesahihan peruntukan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor berhubung mengajar agama tanpa tauliah, berakhir hari ini.

Ini ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan di sini yang menolak permohonan beliau bagi kebenaran untuk memfailkan rayuan.

Ketua Hakim Negara yang baru dilantik Tan Sri Md Raus Sharif mempengerusikan panel tiga anggota itu. Dua orang lagi hakim ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop dan hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Aziah Ali.

Hakim Raus berkata permohonan Khalid tidak mempunyai merit dan memerintahkan beliau membayar kos sebanyak RM10,000 kepada Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Terdahulu, semasa prosiding, Hakim Raus berkata undang-undang mengenai perkara itu telah dimuktamadkan susulan kes Fathul Bari Mat Jahya.

Pada 19 Jan, tahun ini, Khalid yang juga ketua penerangan Amanah, didenda RM2,900 selepas dia didapati bersalah oleh Mahkamah Rendah Syariah Klang memberi ceramah agama tanpa tauliah di sebuah surau di Taman Seri Sementa, Klang pada 2011.

Khalid kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi Syariah.

Kesalahan itu ialah mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Khalid memfailkan permohonan d Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi kebenaran untuk memfailkan semakan kehakiman mencabar kesahihan peruntukan tersebut di bawah perlembagaan dengan mendakwa Serksyen 119 (1) menyalahi Perkara 11 (1) dan Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam permohonannya, beliau menamakan Mais sebagai responden.

Beliau memfailkan permohonan semakan kehakiman itu selepas Mahkamah Syariah memerintahkan beliau membela diri.

Pada 30 Mei, tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan Khalid bagi kebenaran untuk memfailkan semakan kehakiman atas alasan permohonan itu bersifat remeh, menyusahkan dan bertujuan untuk melengah-lengahkan perbicaraannya (Khalid) di Mahkamah Syariah.

Pada 9 Nov, tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Khalid dan memutuskan bahawa beliau sepatutnya membawa kes itu terus ke Mahkamah Persekutuan kerana intipatinya berkisar kepada kecekapan Dewan Undangan Negeri Selangor untuk meluluskan enakmen.

Khalid diwakili oleh peguam Nadzratun Naim Hammad Azizi dan Sharifah Nur Asmaa’ Syed Azman sementara peguam kanan persekutuan Suzana Atan mewakili Mais. — Bernama

Lagi Video di MMOTV