projekmmoBerita

Kes FIC: Tiga individu sekali lagi dipanggil SPRM

SPRM memanggil semula tiga individu bagi membantu melengkapkan kertas siasatan kes pembelian hotel oleh FIC di Kensington, London. — Foto oleh Yusof Mat IsaSPRM memanggil semula tiga individu bagi membantu melengkapkan kertas siasatan kes pembelian hotel oleh FIC di Kensington, London. — Foto oleh Yusof Mat IsaPUTRAJAYA, 11 Ogos — Pengarah Felda Investment Corporation (FIC) dan dua bekas ahli lembaga pengarah syarikat itu sekali lagi hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel oleh FIC di Kensington, London.

Ketiga-ketiga individu itu sebelum ini sudah dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut pada Selasa lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi hari ini berkata ketiga-tiganya individu itu dipanggil semula bagi membantu melengkapkan kertas siasatan.

"Selepas meneliti keterangan yang diberi mereka sebelum ini, perlunya mereka dipanggil semula untuk mendapatkan maklumat lanjut," katanya.

Ketiga-tiga individu itu hadir ke ibu pejabat SPRM di sini secara berasingan sekitar 11 pagi dan selesai dirakam percakapan oleh pegawai penyiasat pada kira-kira 6.30 petang semalam.

Simi berkata  kesemua yang dipanggil memberi keterangan berhubung kes berkenaan akan dipanggil semula jika terdapat keperluan.

SPRM membuka kertas siasatan berhubung pembelian sebuah hotel di Kensington, London antara 2013 dan 2015 oleh FIC selepas dipercayai harga yang dibayar jauh lebih tinggi berbanding harga asal hingga menyebabkan anak syarikat FELDA itu mengalami kerugian jutaan ringgit.

FIC dilaporkan membayar STG60 juta (RM330 juta) untuk sebuah hotel empat bintang di Kensington, London pada 16 Dis 2014.

Sejak siasatan dibuka, SPRM sudah memanggil  29 individu sebagai saksi bagi membantu siasatan.

Seramai lima individu turut ditahan termasuk seorang bekas ketua pegawai eksekutif FIC. — Bernama

Lagi Video di MMOTV