projekmmoBerita

Kes buli: Tiga pelajar nafi dipaksa lakukan seks oral

Dua pelajar kolej vokasional yang dipukul 20 pelajar senior menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu. — Paparan skrin GoogleDua pelajar kolej vokasional yang dipukul 20 pelajar senior menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu. — Paparan skrin GoogleKUALA TERENGGANU, 10 Ogos — Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) menafikan laporan sebuah portal akhbar berbahasa Inggeris kononnya dua daripada tiga mangsa buli sebuah kolej vokasional di sini telah dipaksa melakukan seks oral oleh pelajar senior, Selasa lepas.

Pengarahnya Shafruddin Ali Hussain berkata hasil siasatan mendapati perkara itu tidak berlaku sama sekali dan ia telah dinafikan oleh tiga mangsa buli terbabit.

“Kita telah bertanyakan perkara itu kepada mangsa di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan mereka mengakui tidak wujud perkara itu (arahan melakukan seks oral).

“Jadi, jabatan berharap akhbar berbahasa Inggeris itu membuat ralat, menarik balik laporan dan membuat permohonan maaf kepada pihak sekolah dan mangsa kerana ia memberi imej yang negatif dan akan merisaukan ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Hari Koperasi Negara 2017 Peringkat Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Shafruddin berkata beliau difahamkan maklumat tidak betul itu diperoleh daripada kawan mangsa dan bukannya daripada percakapan mangsa sendiri.

“Kita terkilan dengan laporan itu. Untuk jabatan, cukup sekadar mereka meminta maaf namun jika ibu bapa mahu mengambil tindakan, itu terpulang kepada mereka, hak mereka,” katanya.

Semalam, seramai 15 pelajar kolej vokasional itu ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan berhubung kes buli membabitkan tiga pelajar di kolej berkenaan.

Kesemua pelajar terbabit disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh selepas dipercayai terlibat membuli tiga pelajar tahun satu dan dua di kolej berkenaan dalam tiga kejadian dengan yang terkini pada awal pagi Selasa lepas.  — Bernama

Lagi Video di MMOTV