projekmmoBerita

Kebakaran bangunan KWSP bukan sabotaj, kata menteri

Bangunan KWSP di Jalan Gasing, Petaling Jaya terbakar kira-kira jam 11.30 pagi 13 Februari 2018. — Foto oleh Mukhriz HazimBangunan KWSP di Jalan Gasing, Petaling Jaya terbakar kira-kira jam 11.30 pagi 13 Februari 2018. — Foto oleh Mukhriz Hazim

PUTRAJAYA, 14 Feb — Kebakaran di bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, Petaling Jaya tidak mengandungi unsur perbuatan jenayah atau sabotaj, sebaliknya adalah kebakaran tidak disengajakan, kata menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan Tan Sri Noh Omar hari ini.

Beliau berkata kebakaran itu berlaku semasa kerja-kerja pembaikan masalah kebocoran ‘External Insulation Finishes System’ (waterproofing) dengan menggunakan ‘granule bitumen membrane roll’ dilakukan di foyer  di sebelah belakang di tingkat satu bangunan.

Katanya ‘waterproofing membrane’ itu perlu dileburkan dahulu bagi membolehkan bahan tersebut melekat pada lantai konkrit dan kaedah melebur itu menggunakan ‘single burner flame gun’ yang menggunakan gas petroleum cecair (LPG).

“Semasa kontraktor melakukan kaedah melebur itu, beliau tidak tahu bahawa salutan dinding luar (cladding) jenis EIFS (Exterior Insulation and Finish System) diperbuat daripada bahan mudah terbakar iaitu ‘Polystyrene foam. 

“Bangunan KWSP ini telah membuat pengubahsuaian yang melibatkan pemasangan ‘cladding’ ini pada tahun 2003 dan menampalkan pada bangunan mereka,” katanya dalam sidang media mengenai kebakaran bangunan KWSP di pejabatnya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Noh berkata pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menerima panggilan kecemasan pukul 11.52 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian. Operasi memadam kebakaran mengambil masa kira-kira 30 minit dan seramai 527 pekerja di bangunan tersebut telah berjaya menyelamatkan diri.

Beliau menjelaskan kebakaran itu melibatkan lima peratus daripada keseluruhan bangunan iaitu pada bahagian cladding di bahagian sebelah kiri dan belakang, manakala bahagian dalam cuma berlaku kebakaran di sebahagian kecil di tingkat enam.

Berdasarkan kesan kebakaran dan keterangan saksi, beliau berkata tempat bermula kebakaran adalah sebelah kiri di bahagian belakang di tingkat satu lantai foyer.

“Sumber nyalaan yang mencetuskan kebakaran adalah nyalaan daripada LPG yang digunakan pada Single Burner (LPG) Flame Gun yang terkena pada cladding dipasang pada bahagian luar dinding tersebut. Kemudian kebakaran ini merebak dengan cepat pada cladding yang diperbuat daripada polystyrene foam itu.

“Mana-mana bangunan perlu mendapatkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dan apabila bangunan itu mengubah suai, mereka bertindak menambah bahan-bahan yang tidak diluluskan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya. — Bernama

Lagi Video di MMOTV