projekmmoBerita

Kaum Cina jangan ulang kesilapan sama, kata MB Kedah

Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (empat, kanan) menggaul Yee Sang bersama beberapa pemimpin parti komponen BN di Mentalon hari ini. — Foto BernamaDatuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (empat, kanan) menggaul Yee Sang bersama beberapa pemimpin parti komponen BN di Mentalon hari ini. — Foto BernamaALOR STAR, 12 Feb — Masyarakat Tionghua diingatkan agar tidak mengulangi kesilapan lalu dengan memilih pemimpin yang salah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ini hingga merugikan diri mereka sendiri.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pemilihan pemimpin yang tidak betul dan “semborono” menyebabkan sesetengah kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) akan ketinggalan dan dibiarkan oleh pemimpin tersebut tanpa pembelaan sewajarnya.

“Saya minta janganlah ulangi kesilapan lalu, dahulu dah buat tengoklah apa yang telah berlaku, kembalilah kepada Barisan Nasional (BN) yang telah terbukti dapat membantu rakyat dan membangunkan kawasa ,” katanya pada Majlis Jamuan dan Penyampaian Sumbangan Sempena Tahun Baharu Cina 2018, di Sri Mentalon di sini, hari ini.

Kira-kira 600 orang masyarakat Tionghua dari 36 kawasan DUN negeri ini hadir bagi menerima sumbangan berupa ang pau dan limau mandarin dari Ahmad Bashah.

Ahmad Bashah berkata, tidaklah menjadi kerugian apabila memilih pemimpin BN sebagai wakil rakyat mereka, kerana ia bukan sahaja memberi keuntungan kepada rakyat dari pelbagai aspek, malah menjadi “jambatan” penghubung yang rapat dengan kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat Cina agar tidak terpengaruh dengan individu atau kumpulan pemimpin pembangkang yang akan muncul pada lima tahun sekali untuk menabur janji-janji pilihan raya serta menggesa rakyat untuk menukar kerajaan sedia ada.

“Kekalkanlah kerajaan BN kerana menukar kerajaan bukan seperti menukar baju kerana kesannya akan berpanjangan dan belum tentu menjamin masa depan yang lebih baik yang kita nikmati ketika ini,” katanya.

Ahmad Bashah berkata, ingatan ini juga sering diperkatakan kepada kaum-kaum lain kerana ianya sangat penting demi menjamin masa depan generasi akan datang. — Bernama

Lagi Video di MMOTV