projekmmoBerita

Kajian nilai berat beg sekolah siap dalam sebulan

Laporan Kajian Penilaian Berat Beg Murid Sekolah yang sedang dijalankan siap dalam tempoh sebulan. — Foto ReutersLaporan Kajian Penilaian Berat Beg Murid Sekolah yang sedang dijalankan siap dalam tempoh sebulan. — Foto ReutersISKANDAR PUTERI, 16 Jan — Kajian Penilaian Berat Beg Murid Sekolah yang kini sedang dijalankan akan siap laporannya dalam tempoh sebulan, kata timbalan menteri pendidikan Datuk P. Kamalanathan.

Beliau berkata proses mengumpul maklumat sudah dimulakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah dengan mengunjungi sekolah di beberapa negeri.

Setelah proses itu siap, segala maklumat akan dihantar ke kementerian untuk dibentangkan kepada menteri pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

“Kajian ini bertujuan mencari jalan penyelesaian kepada isu beg berat murid sekolah. Kami telah meminta kerjasama daripada pihak berkuasa sekolah seperti guru besar dan guru-guru untuk tidak membenarkan murid mereka membawa beg untuk tempoh pembelajaran seminggu tetapi hanya membawa buku mengikut jadual harian.

“Berdasarkan pemerhatian saya sendiri, kes-kes beg berat ini kurang berlaku di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan ada antara isu ini tidak berpunca daripada beban buku yang berat tetapi penggunaan beg sekolah beroda. Jadi, perkara ini perlu kami teliti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan SJKT Ladang Bukit Serampang di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Kamalanathan memberitahu sebanyak 12 daripada 37 SJKT yang digariskan dalam Pakej Rancangan Khas 2012 telah pun siap dibina dan mula digunakan.

“Sebanyak 12 sekolah siap dibina dan digunakan, 12 buah lagi telah siap dan sedang menunggu Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) manakala bakinya iaitu 13 sekolah lagi sedang dalam pelbagai peringkat pembinaan.

“Kerja-kerja pembinaan bermula pada 2014 dan dijangka dapat disiapkan selepas mengambil kira kelulusan yang diterima daripada PBT mengenai lokasi SJKT tersebut dibina,” katanya.

Kamalanathan menambah kos keseluruhan pembinaan 37 sekolah ini sebanyak RM216 juta dan telah dilaksanakan oleh kontraktor kaum India.

“Kos jangkaan untuk membina 37 SJKT pada mulanya adalah RM80 juta tetapi selepas perbincangan di peringkat kementerian kami mendapati RM80 juta tersebut tidak mencukupi, jadi kos sebenar pembangunan adalah RM216 juta,” katanya. — Bernama

Lagi Video di MMOTV