projekmmoBerita

Juadah pelbagai kaum rai 70,000 pengunjung rumah terbuka PM

Najib bersama isteri ketika rumah terbuka Aidilfitri di Seri Perdana, 17 Julai 2015. — Foto oleh Choo Choy MayNajib bersama isteri ketika rumah terbuka Aidilfitri di Seri Perdana, 17 Julai 2015. — Foto oleh Choo Choy MayPUTRAJAYA, 25 Jun — Kira-kira 70,000 pengunjung dijangka memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Anggota Jemaah Menteri di Kompleks Seri Perdana di sini yang diadakan pada hari raya pertama.

Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Othman Mahmood berkata rumah terbuka itu akan berlangsung dari 10 pagi hingga 4 petang.

Beliau berkata selain menikmati pelbagai juadah yang disediakan, orang ramai juga berpeluang bersalaman dengan Perdana Menteri dan anggota jemaah menteri serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

“Pelbagai juadah antaranya masakan Melayu, Cina, India dan juga makanan vegetarian akan disediakan. Tetamu juga akan dihiburkan dengan persembahan artis jemputan khas,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan akhir majlis itu semalam.

Othman berkata bagi kemudahan orang ramai, perkhidmatan bas secara percuma disediakan dari tiga lokasi iaitu Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra.

Beliau berkata trak Nestle Milo juga disediakan untuk para pengunjung yang menaiki bas di lokasi-lokasi tersebut. — Bernama

Lagi Video di MMOTV