projekmmoBerita

Jejas hasil penduduk, risau sisa babi cemari Sungai Golok

Orang ramai membawa keluarga mandi-manda di Sungai Golok di Kampung Pengkalan Klinik sebelah Malaysia dan di Kampung Bereng Padang Bola di sebelah Thailand pada 30 April, 2016. — Foto Bernama Orang ramai membawa keluarga mandi-manda di Sungai Golok di Kampung Pengkalan Klinik sebelah Malaysia dan di Kampung Bereng Padang Bola di sebelah Thailand pada 30 April, 2016. — Foto Bernama RANTAU PANJANG, 9 Feb — Penduduk tempatan bimbang aktiviti seludup babi melalui Sungai Golok menjejaskan pendapatan pencari hasil hidupan sungai.

Penduduk mendakwa sungai itu kini kotor dengan darah dan tulang babi yang menjejaskan penangkapan etok dan ikan, lapor Harian Metro.

Seorang penduduk yang dikenali Esah yang berumur 50-an berkata mereka “tidak kisah sekiranya mereka menyeludup kambing atau lembu.”

Namun apabila buangan sisa babi banyak di situ, katanya lagi, “menyebabkan kami tidak boleh makan hasil dari Sungai Golok.”

“Setiap kali musim kemarau dan paras air Sungai Golok kering, memang jelas kelihatan tulang khinzir yang berselerak di lokasi berkenaan,” katanya.

Pada Mei 2016, mufti Kelantan menegaskan air sungai itu, yang memisahkan Malaysia dengan Thailand, masih suci untuk digunakan oleh orang Islam.  

Datuk Mohamad Shukri Mohamad dilaporkan berkata air itu masih mengalir walaupun ia susut susulan fenomena El Nino sehingga muncul tulang haiwan.

“Orang ramai yang mandi-manda serta membasuh pakaian di sungai di situ tidak perlu ragu kerana statusnya masih suci,” katanya kepada Bernama.

“Lagipun tulang terbabit tidak diketahui milik khinzir atau haiwan lain. Apa yang penting air masih mengalir dan tidak bertakung.”

Beliau mengulas kebimbangan penduduk Kampung Kubang Rambutan, Rantau Panjang, yang mendakwa menemui sisa tulang babi di tebing Sungai Golok.

Lagi Video di MMOTV