projekmmoBerita

Jejak suspek jenayah, akta berkaitan CCTV digubal

Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan CCTV sebagai pencegah dan merekod pelakuan jenayah di kawasan tumpuan orang awam, kata . ― Foto oleh Yusof Mat Isa  Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan CCTV sebagai pencegah dan merekod pelakuan jenayah di kawasan tumpuan orang awam, kata . ― Foto oleh Yusof Mat Isa JOHOR BARU, 10 Sept ― Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menggubal akta berkaitan sistem kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengawal dan memperluaskan penggunaannya di negara ini. 

Timbalan menterinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata ia bertujuan meningkatkan keselamatan yang bertindak sebagai pencegah dan perekod jenayah yang berlaku khususnya di kawasan tumpuan orang awam dan akan diwajibkan pemasangannya.

Katanya, penggunaan CCTV sedia ada tidak meluas dan masih merakam dan menyimpan visual atau imej secara pasif yang tidak boleh diolah oleh perisian.

“Jadi dengan pengunaan CCTV yang dilengkapkan dengan perisian pengesan wajah untuk mengenal pasti wajah, ia akan dapat mengesan dan membantu pihak polis untuk mengawal sesuatu keadaan dan menjalankan siasatan selepas berlaku jenayah," katanya kepada pemberita pada sesi lawatan ke beberapa balai polis di sini hari ini sempena Program Jejak Perwira Malaysiaku Negaraku di sini hari ini.

Berkenaan dengan spesifikasi CCTV yang dimaksudkan, beliau berkata balai polis terdekat akan dihubungkan ke tempat-tempat awam yang akan diletakkan CCTV dan imejnya mesti berdefinisi tinggi (HD) yang boleh diperbesarkan.

“Perisian CCTV itu juga boleh mengenal pasti wajah seseorang melalui rekod di Jabatan Pendaftaran Negara atau pihak polis sendiri, maka harapan untuk kita menangkapnya adalah tinggi menerusi imej yang dirakam,” tambah Nur Jazlan.

Selain itu, katanya imej yang dirakam CCTV boleh dapat digunakan sebagai bukti kukuh dalam pendakwaan di mahkamah.

Sambil mengambil contoh kejadian seorang anggota polis ditembak dan ditetak di Balai Polis Pinggiran USJ, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini, Nur Jazlan berkata sistem CCTV di balai polis harus dipertingkatkan  bagi mengelak perkara sama berulang.

Pada awal pagi 31 Ogos lepas, seorang anggota polis ditemukan mati dengan kesan tembak dan tetak di balai polis tempat dia sedang bertugas. ― Bernama

Lagi Video di MMOTV