projekmmoBerita

Jangan parkir ikut suka kerana hendak solat, kata pengerusi Mais

Paparan skrin video menunjukkan seorang lelaki mengangkat kon memukul pemandu kereta dalam kejadian di luar surau Taman Austin Perdana, Johor Baru, 5 Mei 2017. ― Foto ihsan Facebook/Aidil FirdausPaparan skrin video menunjukkan seorang lelaki mengangkat kon memukul pemandu kereta dalam kejadian di luar surau Taman Austin Perdana, Johor Baru, 5 Mei 2017. ― Foto ihsan Facebook/Aidil FirdausKLANG, 8 Mei ― Jangan parkir ikut suka kerana hendak solat, hingga menyusahkan pengguna jalan raya lain, demikian nasihat Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Beliau juga menasihatkan umat Islam agar mengamalkan sikap toleransi dan tidak mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman berhubung kes pergaduhan di hadapan sebuah surau di Taman Austin Perdana, Johor Bahru, Jumaat lalu.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.00 tengah hari itu, dipercayai berpunca daripada kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan sehingga menyukarkan pergerakan kenderaan seorang pemandu.

Kerana kesukaran itu, pemandu berkenaan telah membunyikan hon ketika solat Jumaat sedang berlangsung.

Berikutan itu, sekumpulan lelaki dipercayai jemaah masjid dilaporkan merusuh dan memukul pemandu serta merosakkan kenderaannya.

Mohamad Adzib berkata, umat Islam tidak sepatutnya menjadikan kejadian itu sebagai alasan untuk mewujudkan sifat benci dalam kalangan masyarakat yang berbeza fahaman agama.

“Kenapa sebagai umat Islam kita tidak boleh bertolak ansur dan tanam sikap toleransi dalam diri,” kata beliau.

Kejadian itu kemudian menjadi tular di laman sosial. ― Bernama 

Lagi Video di MMOTV