projekmmoBerita

Jangan bimbang, belum masa saya guna Twitter, kata Fuzi

Fuzi meminta sedikit masa sebelum menyenaraikan keutamannya sebagai ketua polis negara. — Foto ihsan Facebook/Prokamal KamalFuzi meminta sedikit masa sebelum menyenaraikan keutamannya sebagai ketua polis negara. — Foto ihsan Facebook/Prokamal KamalCYBERJAYA, 5 Sept — Ketua Polis Negara yang baharu, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berikrar untuk mengamalkan pendekatan pro aktif dalam menangani isu-isu penting di negara ini termasuk kematian semasa dalam tahahan.

Mohamad Fuzi, yang menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang bersara wajib pada Isnin, memberi komitmen itu selepas mengkaji secara serius perkara-perkara yang sering dikemukakan oleh Amnesty International Malaysia dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang lain. 

“Sebagai permulaan, kita telah meminta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) membuat pengesahsahihan dan bekerjasama dengan kita untuk mengemukakan cadangan-cadangan tertentu mengenai isu ini (kematian semasa dalam tahanan). Kita akan mengkaji cadangan ini.

“Bagaimanapun, kita menghadapi kekangan seperti keperluan memasang kamera litar tertutup (CCTV) dalam lokap dan bajet, yang perlu direktifikasi,” kata beliau kepada pemberita selepas pelancaran “Impact Driven Enterprises Accreditation (IDEA) di Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) di sini, hari ini.

IDEA dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. Turut hadir Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Ashran Ghazi.

Ketika ditanya mengenai harapan tinggi oleh NGO dan pihak pembangkang untuk “membersihkan” pasukan polis, Mohamad Fuzi beliau sedar sepenuhnya perkara itu dan sudah pasti akan mengkaji apa yang perlu dilakukan untuk menangani apa-apa isu yang dibangkitkan oleh rakyat di jalanan.

“Sebenarnya, anda perlu berlaku adil dengan saya. Ini baru hari kedua saya mengambil alih tugas. Saya akan menangani isu-isu secara adil dan serius. Saya tidak akan mengambil masa yang lama tetapi berikan saya sedikit masa. Saya akan memberitahu tidak lama lagi mengenai keutamaan saya,” kata beliau.

Ditanya mengenai kes penculikan pastor Raymond Koh pada Februari, beliau berkata siasatan masih berjalan dan akan disiasat hingga ke akar umbi.

Kepada soalan sama ada beliau akan bersikap telus dalam perkongsian maklumat terkini mengenai kejadian jenayah di negara ini melalui media sosial seperti Twitter, Mohamad Fuzi berkata : “Saya mula fikir untuk mempunyai laman sosial tetapi tidak buat masa ini,. Anda tidak perlu bimbang mengenainya.” — Bernama

Lagi Video di MMOTV