projekmmoBerita

Isteri bekas wakil PAS bebas kes dagang amah

Keputusan Mahkamah Sesyen Kota Bahru yang membebaskan isteri bekas Adun Melor dari tuduhan memperdagang pembantu rumah warga Indonesia dikekalkan Mahkamah Rayuan Putrajaya. — Paparan skrin GoogleKeputusan Mahkamah Sesyen Kota Bahru yang membebaskan isteri bekas Adun Melor dari tuduhan memperdagang pembantu rumah warga Indonesia dikekalkan Mahkamah Rayuan Putrajaya. — Paparan skrin GooglePUTRAJAYA, 26 Okt — Isteri bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor kekal bebas daripada pertuduhan memperdagangkan pembantu rumah warga Indonesia.

Ini berikutan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Seri Zakaria Sam hari ini memutuskan mengekalkan pembebasan Siti Madinah Ilias Khan daripada pertuduhan itu selepas menolak rayuan pihak pendakwaan.

"Kami dapati rayuan pihak pendakwaan tiada merit. Rayuan pihak pendakwaan ditolak," kata Zakaria yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmadi Asnawi dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Panel tersebut mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Kota Bahru yang membebaskan Siti Madinah terhadap tuduhan itu di akhir kes pendakwaan tanpa dipanggil untuk membela diri.

Siti Madinah, 56, dituduh memperdagangkan Riamis, 42, bagi maksud eksploitasi dengan tidak membayar gaji wanita itu yang merupakan pembantu rumahnya selama dua tahun selain mencederakan wanita tersebut dengan cara memukulnya di rumahnya di Taman Desa Telipot, Kota Bharu antara September 2013 dan 26 Mei 2015.

Pada Jun 20, 2016, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Siti Madinah daripada pertuduhan itu tanpa memerintahkannya membela diri dan keputusan itu juga dikekalkan Mahkamah Tinggi Kota Bahru.

Timbalan pendakwa raya Tetralina Ahmed Fauzi berhujah bahawa Siti Madinah patut dipanggil untuk membela diri terhadap tuduhan kerana terdapat elemen paksaan berdasarkan kecederaan yang dialami pembantu rumah itu serta tidak dibayar gaji.

Peguam Wan Rohimi Wan Daud yang mewakili Siti Madinah berkata tidak ada paksaan dan eksploitasi malah anak guamnya sendiri telah memujuk Siti Madinah untuk duduk dan bekerja di rumahnya.

Siti Madinah ialah isteri kepada bekas Adun Melor Wan Ismail Wan Jusoh. — Bernama

Lagi Video di MMOTV