projekmmoBerita

Imbau kenangan arwah ibu, MB Terengganu urut pesakit

Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman membuat urutan pada kaki pesakit Masdi Mohd Nor, 53, ketika tinjauan ke Pusat Rehabilitasi 1 Malaysia di Seberang Takir. — Foto BernamaDatuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman membuat urutan pada kaki pesakit Masdi Mohd Nor, 53, ketika tinjauan ke Pusat Rehabilitasi 1 Malaysia di Seberang Takir. — Foto BernamaKUALA NERUS, 14 Nov — Awalnya hanya menjaga arwah ibu yang mengalami strok, akhirnya, menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman serius mahu membantu pesakit lain pulih sepenuhnya.

Pesakit strok sememangnya memerlukan penjagaan rapi terutama dalam melatih mereka untuk pulih.

Disebabkan itu Ahmad Razif bertekad menubuhkan Pusat Rehabilitasi 1Malaysia, yang beroperasi secara rasmi empat tahun lalu.

Pusat berkenaan yang terletak di perkampungan nelayan bukan sahaja menyediakan peralatan lengkap umpama hospital swasta tetapi juga tenaga pekerja terlatih, yang semuanya boleh digunakan secara percuma.

“Kebetulan, saya juga berpeluang menjaga arwah ibu saya yang menghidap angin ahmar selama tiga tahun. Jadi sedikit sebanyak saya sangat memahami keperitan dialami pesakit dan keluarga mereka,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat itu.

Pusat berkenaan menjadi tempat tetap persinggahan Ahmad Razif yang merupakan ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, meskipun sibuk menjalani tugasan harian, malah ia bagaikan mempu meredakan kerinduan kepada arwah ibunya yang meninggal dunia 16 tahun lalu.

“Sejak menjadi wakil rakyat, saya sering keluar masuk kampung menziarahi rakyat dan bertemu pesakit yang mengalami masalah angin ahmar dan mereka berdepan banyak kesukaran untuk mendapatkan rawatan susulan fisioterapi, di hospital.

“Saya bertekad untuk membantu mereka, terutama mereka yang tiada pendapatan tetap, malah jika mereka tiada kenderaan, pesakit akan diambil dari rumah untuk jalani ujian kesihatan di sini secara berkala,” katanya yang akan meninjau pusat itu antara jam 9 hingga 10 pagi sebelum memulakan tugas rasmi menteri besar.

Ahmad Razif berkata sejak awal lagi, niat beliau untuk membina pusat rehabilitasi secara percuma itu sentiasa dipermudahkan Allah SWT dengan sokongan banyak pihak serta syarikat swasta, yang menghulurkan sumbangan.

Katanya, bagi membina bangunan berkenaan, beliau pada mulanya, hanya memanggil tukang yang terdiri daripada orang kampung pada setiap minggu dan tiada kontraktor khas dilantik kerana kekangan kewangan.

Sepanjang dua jam tinjauan Bernama di pusat itu, Ahmad Razif dilihat tidak kekok mengurut pesakit diiringi bacaan ayat suci al-Quran serta doa dan menurutnya, kebolehan mengurut itu ekoran pengalaman menjaga ibunya dan mendapat ilmu urutan yang betul daripada pegawai perubatan bertugas.

“Masa saya jaga arwah ibu, saya belum jadi wakil rakyat. Setiap hari saya akan membuat sedikit urutan kepada ibu saya agar dia lebih lega, dan urutan juga sebenarnya mempercepatkan lagi proses pemulihan pesakit angin ahmar ini.

“Urutan juga merapatkan lagi hubungan saya dengan arwah ibu kerana itulah masa untuk saya berbual dengan dia, dan mendengar nasihatnya yang hingga kini saya simpan rapi sebagai pegangan diri,” katanya mengimbas kenangan lalu.

Penat lelah dan kesungguhan Ahmad Razif itu turut mendapat perhatian dan sokongan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang hadir merasmikan pusat rehabilitasi itu pada Mei 2013, serta menyalurkan banyak sumbangan untuk pembelian mesin rawatan berteknologi tinggi dan sebuah van yang dilengkapi kemudahan khas untuk pesakit berkerusi roda.

Sehingga kini, hampir 2,500 pesakit telah mendapatkan rawatan pemulihan di Pusat Rehabilitasi 1Malaysia Seberang Takir itu sejak ia memulakan operasi sebulan sebelum perasmian.

Ahmad Razif berkata, walaupun penubuhan asal pusat rehabilitasi itu untuk kemudahan rawatan pemulihan kepada pesakit DUN Seberang Takir sahaja, namun pihak pengurusan menerima banyak permohonan dari pesakit kawasan luar untuk menjalani rawatan di situ.

“Saya kata tak apalah. Kita terima sahaja pesakit dari mana-mana, asalkan mereka dirujuk dari Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

“Doa saya agar pusat rehabilitasi ini terus menjadi ‘rumah kedua’ untuk pesakit yang memerlukan kerana ini adalah sumbangan kecil saya, inisiatif peribadi saya untuk rakyat Terengganu dan penduduk Seberang Takir khususnya,” katanya tersenyum.

Bersebelahan pusat rehabilitasi itu juga, Ahmad Razif turut menyediakan pusat hemodialisis yang menyediakan 24 mesin rawatan percuma untuk pesakit buah pinggang.

Lebih istimewa, apabila siap sepenuhnya pada Mac tahun depan, ia bakal menjadi pusat hemodialisis swasta pertama yang menawarkan perkhidmatan percuma kepada penghidap HIV dan hepatitis di negara ini.

Sementara itu, seorang warga emas, Mardziah Muda, 73, berkata beliau mula pulih dan boleh berjalan menggunakan tongkat selepas menerima rawatan di pusat itu sejak dua tahun lalu.

“Tok ada sakit kencing manis dan punca strok ni sebab terjatuh dalam bilik air. Mula-mula tok datang, berkerusi roda. Langsung tak boleh berjalan. Tapi bila berlatih guna mesin-mesin ni, kaki tok rasa lembut dah, boleh jalan perlahan-lahan guna tongkat.

“Paling tok puji pusat ni sebab ada van yang boleh ambil dan hantar semula ke rumah untuk buat rawatan. Biasa anak atau cucu tok yang hantar tapi macam pesakit lain, ada yang tidak mempunyai kenderaan. Jadi mereka akan naik van percuma yang disediakan pusat ini,” katanya.  — Bernama

Lagi Video di MMOTV