projekmmoBerita

Hujan lebat pagi tadi, jalan raya Klang naik air

Beberapa kawasan di sekitar Klang dinaiki air hampir satu meter berikutan hujan lebat selama beberapa jam awal hari ini. -- Foto ihsan BombaBeberapa kawasan di sekitar Klang dinaiki air hampir satu meter berikutan hujan lebat selama beberapa jam awal hari ini. -- Foto ihsan BombaSHAH ALAM, 7 Nov — Beberapa kawasan di sekitar Klang dinaiki air hampir satu meter berikutan hujan lebat selama beberapa jam awal hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata air mula naik di sekitar Bandar Bukit Raja dan Taman Sungai Rasau kira-kira pukul 4.30 pagi.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan ataupun penduduk di sekitar kawasan ini yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan mangsa banjir setakat ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mazelan Paijan berkata hujan lebat awal pagi tadi turut menyebabkan beberapa jalan utama di Klang dinaiki air dan terpaksa ditutup.

Beliau berkata jalan yang ditutup adalah susur keluar dari Plaza Tol Sungai Rasau menghala ke persimpangan lampu isyarat ke Lebuhraya Shapadu, Jalan Sungai Rasau, Kilometer 3.5 Lebuhraya Shapadu menghala ke Shah Alam, Jalan  Rajawali, Klang dan Persiaran Sultan Ibrahim menghala ke Plaza Tol Lebuhraya Shapadu.

“Jalan yang dinaiki air tetapi masih boleh dilalui pula adalah di Jalan Meru, Klang berhampiran Hospital Columbia Asia.

“Laluan yang mengalami kesesakan teruk pula adalah selepas Plaza Tol Lebuhraya Shapadu sehingga ke persimpangan arah Shah Alam dan Lebuhraya Persekutuan, Persiaran Sultan Ibrahim, dan Jalan Meru,” katanya ketika dihubungi.

Sehubungan itu, Mazelan menasihati pengguna jalan raya supaya bersabar dan mengikuti arahan polis bagi memastikan kelancaran trafik di kawasan terjejas. — Bernama

Lagi Video di MMOTV