projekmmoBerita

Hujan lebat, George Town sesak akibat banjir kilat

Dua kenderaan tersangkut di Jalan Mayang Pasir, Bayan Baru apabila banjir kilat melanda berikutan hujan lebat yang turun sejak awal pagi tadi. — Foto BernamaDua kenderaan tersangkut di Jalan Mayang Pasir, Bayan Baru apabila banjir kilat melanda berikutan hujan lebat yang turun sejak awal pagi tadi. — Foto BernamaGEORGE TOWN, 2 Sept — Beratus-ratus orang terperangkap dalam kesesakan jalan raya di sini akibat banjir kilat berikutan hujan lebat awal hari ini.

Hujan yang bermula pada kira-kira 3 pagi mengakibatkan banjir besar di Jalan Mayang Pasir, kawasan paling teruk terjejas, dengan paras air dilaporkan melebihi paras lutut.

Air surut pada kira-kira 8.30 pagi apabila hujan berhenti.

Banjir kilat juga dilaporkan berlaku di beberapa tempat lain, termasuk Bandar Baru Air Itam dan Paya Terubong.

Orang ramai menyuarakan kemarahan kerana banjir kilat berlaku hampir setiap kali hujan lebat.

Nur Azura Ahmad, jururawat di Hospital Pantai yang tinggal di Paya  Terubong, berkata dia terpaksa meredah beberapa tempat yang dilanda banjir sebelum sampai ke tempat bertugas di Bayan Baru. 

"Saya harap kerajaan negeri akan berbuat sesuatu untuk menyelesaikan masalah banjir," katanya. — Bernama

Lagi Video di MMOTV