projekmmoBerita

Hina kaum India, MIC desak ketua PPBM mohon maaf

Pemuda MIC mendakwa Yaakob mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman menerusi laman sosial Facebooknya. — Foto ReutersPemuda MIC mendakwa Yaakob mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman menerusi laman sosial Facebooknya. — Foto ReutersGEORGE TOWN, 7 Ogos — Pemuda MIC Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) negeri Yaakob Osman kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman menerusi laman sosial Facebooknya.

Timbalan Ketua Pemuda MIC negeri M.Sethubathi berkata pihaknya mahu polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Yaakob yang juga ketua bahagian PPBM Nibong Tebal berikutan kenyataannya itu menghina masyarakat India.

“Pada 5 Ogos lepas, ketika sedang melayari Facebook saya terbaca satu kenyataan yang dimuat naik oleh Yaakob iaitu  ‘dia tak tau India Nibong Tebal macam mana haha .. huloq depa ambik.. undi tak bagi’ dan kenyataan iu telah menampakkan seolah-olah kaum India ini merupakan kaum yang kemaruk duit dalam apa jua keadaan.

“Kami kaum India terutama di Nibong Tebal sangat kecewa dan marah dengan kenyataan Yaakob yang dilihat sebagai tidak sensitif dan menyinggung perasaan masyarakat India bukan sahaja di kawasan itu (Nibong Tebal) malah di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini hari ini.

Selain Pemuda MIC, turut membuat laporan polis berhubung perkara itu ialah Penang Front Party yang diwakili Pengerusinya Datuk Patrick Ooi.

Sethubathi berkata pihaknya juga mendesak Yaakob untuk menarik balik kenyataannya dan memohon maaf kerana sebagai seorang ketua bahagian dalam sebuah parti politik, beliau tidak sepatutnya membangkitkan isu berkaitan perkauman.

Sementara itu, seorang anggota Parlimen belia M.Prakash yang turut membuat laporan polis berkata kenyataan itu memberi kesan negatif kepada masyarakat India kerana ia berbaur perkauman dan sepatutnya tidak dikeluarkan oleh seorang ahli politik seperti Yaakob kerana Malaysia sebuah negara berbilang kaum.

“Kami sedih dengan kenyataan Yaakob kerana ia cuba membangkitkan isu perkauman dan langsung tidak sensitif dengan masyarakat kita yang hidup berbilang kaum.

“Jadi saya gesa dia meminta maaf dan tarik balik, lagipun ini bukan pertama kali beliau mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman serta menghina masyarakat lain,” katanya.

Bagi Ooi pula, tindakan Yaakob menggunakan isu perkauman dalam politik memang tidak boleh diterima kerana ia bukan politik yang matang malah akan menimbulkan perbalahan antara satu sama lain serta suasana tegang.

“Sebab itu, kami turut membuat laporan polis hari ini kerana tidak mahu perkara yang sama berlaku pada masa depan (isu perkauman).

“Saya juga mahu Lim Guan Eng yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan di Pulau Pinang mengambil tindakan segera ke atas Yaakob,” katanya. — Bernama 

Lagi Video di MMOTV