projekmmoBerita

Hasilkan kasut batik, siswa UMK ‘kena marah’ jual murah

Mahasiswa UMK mengusahakan perniagaan kasut lukisan tangan bercorak batik sempena Minggu Fiesta Batik Malaysia (MFBM) 2017. — Foto oleh Facebook/Universiti Malaysia Kelantan (Rasmi)Mahasiswa UMK mengusahakan perniagaan kasut lukisan tangan bercorak batik sempena Minggu Fiesta Batik Malaysia (MFBM) 2017. — Foto oleh Facebook/Universiti Malaysia Kelantan (Rasmi)BACHOK, 31 Okt — Tiga ratus penuntut tahun satu Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengambil inisiatif mengusahakan perniagaan kasut lukisan tangan bercorak batik sempena Minggu Fiesta Batik Malaysia (MFBM) 2017, berlangsung sejak Ahad hingga Khamis ini.

Fiesta itu diadakan serentak di UMK Kampus Bachok di sini dan UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa di Kota Baru.

Dekan FTKW Prof Madya Ahamad Tarmizi Azizan berkata MFBM 2017 berjaya mendorong kreativiti generasi muda untuk menghasilkan rekaan batik menerusi eksperimentasi visual dan menterjemahkan idea berkenaan di atas kasut kanvas mengikut trend dan cita rasa anak muda masa kini.

“Penghasilan kasut berkenaan adalah hasil kreativiti kumpulan penuntut tahun satu bagi projek pertama mereka subjek lukisan bertemakan batik,” katanya ketika ditemui di UMK Kampus Bachok, hari ini.

Ahamad Tarmizi berkata kumpulan pelajar terbabit melukis corak dan mewarna kasut dengan catan tangan menggunakan cat akrilik, pewarna fabrik, berus dan pen penanda untuk menghasilkan corak dan lukisan bersifat flora dan fauna, abstrak, lautan dan alam semula jadi.

Beliau berkata pelajar diberi kebebasan untuk bereksperimentasi dengan idea tersendiri tetapi pada masa sama mengekalkan motif batik yang berwarna-warni dan bercorak ringkas.

Sementara itu, seorang penuntut Siti Nur Amalia Amran, 21, berkata aktiviti itu pertama dilakukannya bersama anggota kumpulannya dan tidak menduga mendapat sambutan menggalakkan.

“Ramai pelanggan bertanya bagaimana kami boleh mendapat idea untuk buat kasut bercorak sebegitu malah ada memuji dan ada juga marah kenapa menjual kasut itu dengan harga murah,” katanya.

Menyedari ciptaan kasut bercorak batik itu mendapat sambutan hangat, Nur Amalia berkata kumpulannya bercadang mengkomersialkan jualan kasut itu menggunakan platform dalam talian.

Beliau berkata untuk projek pertama itu, kumpulannya berjaya menghasilkan 200 pasang kasut bercorak batik dengan harga antara RM25 dan RM60 sepasang dan setakat ini sudah menerima 50 tempahan.

Katanya masa diambil bagi menyiapkan sepasang kasut antara 30 minit dan satu jam, namun mengambil masa sedikit daripada sudut memikirkan rekaan dan motif yang bersesuaian dengan cita rasa pelanggan.

“Kami amat berharap kasut bercorak tersebut akan dapat dikomersialkan sehingga ke peringkat antarabangsa, sekali gus memartabatkan batik Malaysia ke persada dunia,” katanya. — Bernama

Lagi Video di MMOTV