projekmmoBerita

Guru saran sedia subjek fahami semua agama, elak prasangka

Datuk Seri Najib Razak berjalan masuk sebelum membentang Bajet 2017, yang memuatkan dasar baru Transformasi Nasional 2050. — Foto oleh Saw Siow FengDatuk Seri Najib Razak berjalan masuk sebelum membentang Bajet 2017, yang memuatkan dasar baru Transformasi Nasional 2050. — Foto oleh Saw Siow FengKUCHING, 13 Okt — Seorang peserta Dialog Transformasi Nasional (TN50) mencadangkan supaya dibangunkan modul pendidikan yang membolehkan pelajar pelbagai bangsa memahami setiap agama yang ada di negara ini.

Ketika membuat cadangan itu, Ketua Pusat Sumber Institut Pendidikan Guru (IPG) Batu Lintang, Mohd Richard Neles Abdullah berkata pemahaman mengenai agama lain dapat mengelak berlakunya prejudis selain menggalakkan perpaduan lebih erat dalam kalangan rakyat Malaysia ke arah mencapai agenda TN50.

"Aspirasi saya ialah diwujudkan pelajaran untuk memahami agama, penganut serta amalan supaya prejudis itu tidak berterusan. Jika boleh pendidikan mengenainya biarlah bermula dari akar umbi (dari peringkat sekolah).

"Ini perlu kerana sekarang ini kita melihat ada agama yang diperlekeh dan dipermainkan. Justeru itu sistem pendidikan boleh dibentuk untuk menambah pengetahuan mengenai agama lain supaya prejudis ini dapat dielakkan lebih awal," katanya semasa Dialog Tranformasi TN50 yang dihadiri lebih 100 peserta di IPG Batu Lintang, di sini hari ini.

Dialog itu dianjurkan IPG Batu Lintang dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak yang turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.

Ketika ditemui media, Nancy berkata sesi dialog hari ini sangat berjaya berdasarkan kepada aspirasi yang dikemukakan oleh peserta.

"Kumpulan ini agak memberangsangkan, aspirasi yang dilontarkan juga berkualiti, rata-rata aspirasi hari ini berfokus kepada pendidikan. Ini adalah suatu yang kita mahu dengar," katanya.

TN50 merupakan usaha kerajaan merangka masa depan Malaysia bagi tempoh 2020 hingga 2050. Kementerian Belia dan Sukan bertanggungjawab menghimpunkan belia dalam semangat TN50 sepanjang 2017 susulan pengumuman rancangan transformasi negara 30 tahun oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu. — Bernama

Lagi Video di MMOTV