projekmmoBerita

Gerakan: RM800 sekeluarga jika mahu teroka Komtar

Ketua menteri Lim Guan Eng semasa menyaksikan gambaran The Top Komtar pada 29 Oktober 2013. ― Foto oleh KE OoiKetua menteri Lim Guan Eng semasa menyaksikan gambaran The Top Komtar pada 29 Oktober 2013. ― Foto oleh KE Ooi

GEORGE TOWN, 13 Mei ― Gerakan Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri pimpinan DAP menjelaskan mengenai langkah yang diambil dalam memberi nafas baharu kepada Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini.

Naib pengerusinya, Oh Tong Keong mendakwa terdapat banyak lot kedai di Komtar dibiarkan kosong dan kerajaan Pulau Pinang dilihat hanya memberi tumpuan untuk menjadikan bangunan itu sebagai satu destinasi pelancongan yang mahal.

“Jika kerajaan negeri DAP ikhlas, mengapa jadikan Komtar satu destinasi pelancongan yang mahal perbelanjaannya dan tidak mampu ditanggung oleh kebanyakan orang tempatan. Ia kerana bayaran masuk terlampau mahal.

“Jika seisi keluarga empat orang membuat lawatan ke sana, mereka perlu membelanjakan kira-kira RM800 bagi bayaran masuk ke setiap dewan pameran, jambatan kaca Rainbow Skywalk di The Top, Tech Dome, bayaran parkir dan perbelanjaan makan minum serta lain-lain lagi,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau mendakwa isu bayaran masuk yang terlampau mahal itu turut dibangkit dan dikritik oleh wakil rakyat DAP Ng Wei Aik.

Oh berkata jika kerajaan negeri benar-benar ikhlas memberi nafas baharu kepada Komtar, mereka seharusnya melaksanakan industri pelancongan yang lestari dan bukan hanya sekadar memberi tumpuan terhadap pelancong kaya dan mampu berbelanja sahaja.

“Mereka seharusnya mencari jalan penyelesaian untuk menarik lebih ramai orang berniaga di sana dan bukan sekadar mengadakan destinasi pelancongan yang baharu di bahagian atas dan tepi Komtar, sedangkan lot kedai di dalam bangunan dibiarkan kosong.

“Jika kerajaan negeri DAP mempunyai pelan menyeluruh dan dinamik, projek seperti Komtar Walk tidak akan gagal dan sekarang hanya dua, tiga lot kedai yang menjalankan perniagaan dan jarang dikunjungi orang,” katanya.

Dalam pada itu, Oh turut meminta kerajaan negeri menjelaskan perkembangan bagi projek membeli balik lot kedai dalam bangunan itu yang telah dijalankan sejak 2015 dan sehingga kini masalah itu masih belum diselesaikan. ― Bernama

Lagi Video di MMOTV