projekmmoBerita

Fazlina kerja keras, lakonan ‘dibayangi’ kakak Ogy

Fazlina Ahmad Daud bersama suami Nahar Ludhfi Johari semasa acara permaidani merah ASK 2017. ― Foto oleh Yusof Mat IsaFazlina Ahmad Daud bersama suami Nahar Ludhfi Johari semasa acara permaidani merah ASK 2017. ― Foto oleh Yusof Mat IsaKUALA LUMPUR, 13 Nov ― Semakin menonjol dalam hiburan tanah air, pelakon Fazlina Ahmad Daud tidak melatah apabila sering dikaitkan dengan kakaknya.

Fazlina, 42, berkata lakonan Fauziah atau mesra disapa Ogy lebih “berjiwa” maka perlu baginya untuk memberikan yang terbaik dalam setiap watak.

“Memang orang akan bandingkan tetapi itu yang menarik kerana bagi orang lain ia satu penghargaan.

“Tetapi bagi saya, perlu bekerja lebih keras lagi supaya orang tahu saya adiknya. Saya tidak berasa beban kerana saya suka apa yang saya lakukan.

“Sokongan diterima daripada suami dan anak-anak. Jadi tiada tekanan,” katanya kepada ProjekMMO.

Pelakon drama Dia ditemui bersama suami Nahar Ludhfi Johari semasa acara permaidani merah Anugerah Skrin (ASK) 2017 baru-baru ini.

Anak primadona filem Melayu Saadiah itu memenangi pelakon pembantu drama terbaik semasa ASK tahun lalu melalui Cermin Kasih.

Ogy pula memenangi pelakon pembantu filem terbaik melalui Langit Cinta pada anugerah sama.

Fazlina berkata menjadi harapan mereka berdua agar dapat digandingkan dalam satu naskhah bagi membuktikan kemampuan masing-masing.

Katanya, itu juga harapan peminat bagi melihat mereka keluar dari zon selesa watak yang biasa dimainkan. 

“Harapan kami dapat bergabung adik-beradik sebab ramai orang minta. Kalau boleh kami mahu buat sesuatu di luar kebiasaan seperti komedi.

“Kami dapat anugerah pun pada tahun lalu jadi harapnya adalah produksi yang ingin menggabungkan kami.

“Sebab Ogy memang pelakon yang ‘berjiwa’ tetapi saya lebih santai dan pengarah juga perlu pandai menggunakan kami sebaik-baiknya,” katanya.

Ditanya pesan arwah ibunya dalam memantapkan lakonan mereka dua beradik, Fazlina berkata Saadiah lebih menekankan keluhuran budi.

“Pesan arwah ibu bila sudah berjaya jangan lupa dari mana kita datang.

“Sebab itu perjalanan hidup saya dan keluarga tetap merendah diri dan selalu baik hati. Peminat dan penyokong pun tahu siapa saya,” katanya. 

Lagi Video di MMOTV