projekmmoBerita

Fasha mahu saman walau penganjur fesyen mohon maaf

Fasha Sandha bercadang menyaman penganjur pertunjukan fesyen Fenomena Aidilfitri 2017 walau Glass Go Media sudah mengakui kesilapan. ― Foto oleh Choo Choy MayFasha Sandha bercadang menyaman penganjur pertunjukan fesyen Fenomena Aidilfitri 2017 walau Glass Go Media sudah mengakui kesilapan. ― Foto oleh Choo Choy MayKUALA LUMPUR, 16 Mei — Pelakon Fasha Sandha nekad untuk menyaman penganjur pertunjukan fesyen Glass Go Media dan satu pihak lagi.

Tindakan diteruskan walau penganjur Fenomena Aidilfitri 2017 memohon maaf dan mengakui kesilapannya. Pelakon itu mendakwa dihalang masuk minggu lalu.

Dalam kenyataan pelakon filem Badang itu, pihak ketiga itu tidak menamakan namun Kosmo! melaporkan pihak ketiga itu merujuk seorang artis popular.

“Saya faham bahawa Glass Go Media telah memohon maaf di atas peristiwa itu tetapi saya bertekad untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka dan mana-mana pihak ketiga kerana telah memalukan saya,” tulisnya di Instagram.

Jumaat lalu, lapor mStar Online, ketua pegawai eksekutif Glass Go Media mengakui perselisihan dua artis itu berpunca daripada salah faham pihaknya.

Amir Rizuan Ali berkata keputusan menghalang Fasha menghadiri majlis tersebut dibuat tanpa sebarang arahan daripada Nora Danish.

Tambahnya, tindakan itu diambil sebagai cara terbaik untuk memastikan majlis tersebut berjalan lancar.

“Salah faham ini berpunca daripada saya kerana saya langsung tidak bertanya Nora terlebih dahulu.

“Saya tahu hubungan mereka tidak baik, jadi saya tidak mahu perkara buruk berlaku pada majlis yang saya anggap penting buat saya.

“Bagaimanapun, tiada sebarang kejadian Fasha dihalau seperti didakwa,” katanya seperti dilaporkan.

Fasha dilaporkan pada mulanya dihalang tetapi penganjur kemudian menukar fikiran membenarkan pelakon itu datang.

Menulis di media sosial itu malam tadi, Fasha juga berkata beliau “tidak gentar” berdepan tindakan saman oleh pihak ketiga, yang tidak dinamakan.

“Mana-mana pihak yang menyatakan bahawa saya telah memfitnah bahawa saya telah memburukkan dan mencemarkan jenamanya, saya akan keluarkan saman malu dan saya sedikit pun tidak takut,” katanya.

Lagi Video di MMOTV