projekmmoBerita

Farid macam bingung, artis veteran pun kena tampar

Pelakon Datuk Farid Kamil dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya sekitar jam 10.20 pagi untuk direman, 12 Januari 2018. ― Foto oleh Hari AnggaraPelakon Datuk Farid Kamil dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya sekitar jam 10.20 pagi untuk direman, 12 Januari 2018. ― Foto oleh Hari AnggaraKUALA LUMPUR, 13 Jan — Sehari sebelum menampar polis dan orang awam, Datuk Farid Kamil melakukan perkara sama terhadap seorang artis veteran.

Ridzuan Hashim, 54 tahun, ditampar di pipi kiri di studio Soffi Jikan, lokasi drama Uniknya Cinta pada 10 Januari lalu, jam 1.30 pagi, lapor Harian Metro.  

“Tidak semena-mena Farid menampar pipi kiri saya sampai merah,” katanya.

Menceritakan kejadian itu, beliau berkata Farid masuk ke bilik bertanyakan baju sebelum menamparnya ketika dia sedang memakai stokin.

“Entah kenapa dia terus menampar saya. Apabila saya jerit tanya kenapa, dia terus lari keluar daripada premis itu dan tidak patah balik untuk mengambil keretanya,” kata Ridzuan.

“Ketika itu saya lihat dia seperti kebingungan. Kru dan pelakon lain menjadi saksi apabila saya menjerit namanya dan mereka juga melihatnya berlari keluar.”

Enggan memanjangkan cerita, beliau tidak membuat laporan polis kerana dia “tidak berdendam” dan “sayangkan pelakon dan pengarah itu”.

“Itu sebab saya tidak membuat laporan polis kerana tidak mahu kejadian itu dispekulasikan. Nanti orang ingat saya cari pasal,” katanya.

“Saya juga bukan jenis yang suka mengadu dengan wartawan,” kata Ridzuan sambil berharap masyarakat tidak menghukum Farid.

Lagi Video di MMOTV