projekmmoBerita

Empat cedera, pemandu wanita langgar gerai makan

Polis berkata mangsa yang cedera parah dirawat di Hospital Pulau Pinang dan tiga lagi mangsa iaitu seorang lelaki dan dua wanita dirawat sebagai pesakit luar. — Foto ihsan Facebook/kemalanganPolis berkata mangsa yang cedera parah dirawat di Hospital Pulau Pinang dan tiga lagi mangsa iaitu seorang lelaki dan dua wanita dirawat sebagai pesakit luar. — Foto ihsan Facebook/kemalanganGEORGE TOWN, 19 Mei — Seorang wanita parah manakala tiga individu lagi cedera ringan apabila pemandu wanita, yang sedang mengundurkan keretanya, dipercayai hilang kawalan lalu melanggar gerai-gerai makanan di Jalan Baru di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, Woon Kwee Fong, 59, yang sedang makan di situ, cedera parah di kaki, badan dan kepala dengan keadaannya dilaporkan kritikal.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata kemalangan itu berlaku apabila kereta Hyunda yang dipandu wanita itu sedang mengundur dari Jalan Macalister ke Lorong Baru, sebelum melanggar gerai-gerai makanan di tepi jalan berkenaan.

"Kereta itu melanggar empat gerai makanan di situ. Ketika kejadian terdapat empat pelanggan yang sedang makan," katanya di sini, malam ini.

Beliau berkata mangsa yang cedera parah dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan tiga lagi mangsa iaitu seorang lelaki dan dua wanita berusia di antara 25 hingga 48 tahun dirawat sebagai pesakit luar di hospital itu.

Anuar berkata pemandu kereta itu melarikan diri sejurus kemalangan itu.

"Pihak polis sedang giat mengesan wanita itu," katanya.

Sementara itu, peniaga yang mahu dikenali sebagai Huat, 52, berkata semasa kejadian, beliau sedang menggoreng Char Kuew Teow dan empat mangsa berkenaan sedang makan di meja yang terletak di belakang gerainya sebelum tiba-tiba kereta berkenaan mengundur laju lalu melanggar mereka.

"Sebahagian gerai saya dan barang jualan rosak akibat dilanggar kereta itu. Kejadian berlaku dengan pantas. 

"Nasib saya tidak cedera," katanya yang kerugian kira-kira RM1,000 akibat kemalangan itu.

Beliau berkata pemandu kereta itu, yang dianggarkan berusia dalam lingkungan 30-an, terus meninggalkan keretanya di situ ketika orang ramai cuba membantu mangsa yang cedera. — Bernama

Lagi Video di MMOTV